Syed Rizwan dan isteri beliau Tashfeen Malik melakukan serangan bersenjata terhadap rakan sekerja pada 2 Disember tahun lalu. Serangan ini diklasifikasikan sebagai aktiviti keganasan kerana beliau dan isteri dikatakan menyokong ISIS. Seramai 14 individu maut manakala 22 lagi cedera parah dalam serangan tersebut. Syed RIzwan dan isteri kemudian mati ditembak pihak polis ketika cuba melarikan diri. Antara bahan bukti yang ditemui oleh pihak berkuasa ialah telefon iPhone 5C milik Syed Rizwan. Walaupun sudah berbulan di dalam tangan pihak FBI, mereka masih gagal mengakses peranti ini kerana sistem penyulitan yang digunakan Apple.
Mahkamah California hari ini mengarahkan Apple supaya membantu FBI melakukan penyahsulitan terhadap iPhone Syed Rizwan. Arahan diberikan kerana maklumat terkandung di dalam peranti adalah perlu bagi pihak berkuasa melihat siapakah yang dihubungi Syed Rizwan sebelum serangan dilakukan. Mereka mahukan maklumat buku alamat, email dan juga Facetime yang mungkin dilakukan beliau. Arahan mahkamah ini terpaksa diberikan kerana Apple berkeras tidak akan memberikan akses kepada maklumat peribadi pengguna kepada pihak berkuasa. Apple juga mendakwa mereka sendiri tidak mampu menggodam sistem kod masuk peranti yang menggunakan sistem operasi IOS8 dan ke atas. Nampaknya sekiranya anda mahu memastikan peranti tidak akan dapat diakses pihak berkuasa, gunakanlah peranti iOS kerana ia sehingga kini masih belum mampu digodam FBI.