Cari @ Amanz

Penyakit kanser ialah penyakit yang mendapat perhatian ramai sejak beberapa minggu ini. Ini adalah kerana kematian David Bowie, Alan Rickman dan Lemmy Kilmister di tangan penyakit yang membawa maut ini. Dijangkakan jumlah penghidap kanser di dunia akan meningkat dua kali ganda seluruh dunia menjelang 2030. Peningkatan penghidap kanser adalah kerana faktor usia (semakin tua semakin tinggi anda diserang kanser), pemakanan (memakan daging merah dan diproses) dan juga kerana kegemukan. Saintis sedang bekerja keras mencari penawar kepada penyakit yang dilihat semakin serius ini.

Sel-T-membunuh-kanser

Antara teknik yang sedang dibangunkan ialah rawatan Immunologi. Melalui rawatan ini, sel Thymocytes (sel T) yang menentang jangkitan di dalam tubuh manusia diubahsuai menggunakan teknologi kebiojuruteraan. Genetik sel T diubahsuai dengan penambahan molekul yang dipanggil chimeric antigen receptors (CAR). Sel T CAR yang terhasil kemudian disuntik semula ke dalam tubuh penghidap kanser dan ianya terus memburu sel kanser. Kerana sel T CAR mampu menggandakan dirinya dengan sendiri, rawatan imunisasi ini hanya perlu dilakukan sekali.

Rawatan imunilogi T CAR telah dilakukan oleh Fred Hutchinson Cancer Research Center ke atas 29 pesakit  leukemia limfoblastik, sejenis kanser darah sejak 2013. Seramai 27 daripada 29 pesakit didapati pulih sepenuhnya tanpa sebarang kanser pada sumsum tulang mereka. Ujian terhadap pesakit limfoma bukan Hodgkin pula menunjukkan reaksi positif pada 19 daripada 30 pesakit. Ini adalah keputusan ujian yang baik dalam usaha menentang penyakit kanser. Sungguhpun begitu ini bukanlah “rawatan ajaib” yang boleh digunakan pada kesemua jenis kanser. Perang terhadap kanser harus diteruskan kerana seperti yang kami sebutkan pada perenggan awal akan terus berganda dalam masa beberapa dekad akan datang. Diharap dengan penemuan terbaru ini, kanser dapat ditentang hanya dengan suntikan imunisasi di masa hadapan. Semudah menentang polio, batuk kering, batuk kokol, rubella, demam campak dan difteria. Malang sekali sungguhpun suntikan imunisasi penyakit ini wujud, ramai pula golongan terlebih pandai bertekad menjadi penganut amalan anti-vaksinasi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd