Gambar Hadapan HTC One M10 Tertiris – Tiada Lagi Bar Hitam Dengan Logo HTC
HTC

Gambar Hadapan HTC One M10 Tertiris – Tiada Lagi Bar Hitam Dengan Logo HTC

Diterbitkan pada Feb 19, 2016 oleh .

HTC One M10Sementara LG dan Samsung menjadualkan acara pengumuman peranti baru mereka pada Mobile World Congres 2016 yang berlangsung minggu hadapan, pihak HTC masih senyap, dan dijangka akan membuat pengumuman sekitar April atau Mei.

Info awal berkaitan dengan peranti berkenaan masih sedikit buat masa ini. Ia dijangka akan menerapkan elemen HTC pada rekaan peranti mereka, dan terkini, seperti biasa sebuah gambar hadir tertiris ke arena web memperlihatkan bahagian hadapan peranti yang dikatakan sebagai HTC One M10.

Seperti apa yang diperkatakan sebelum ini, tiada lagi bar hitam dengan logo HTC pada bahagian hadapan – tetapi pada masa yang sama, ciri yang diminati ramai, iaitu speaker pada bahagian hadapan juga turut tiada.

Namun, pihak HTC turut dilihat menyertakan sokongan butang pada bahagian hadapan yang mungkin turut berfungsi sebagai pengimbas cap jari – selain kamera selfie yang lensanya dilihat sedikit besar.

HTC dijangka akan menggunakan nama baru untuk peranti ini, dan bukan lagi menggunakan nama HTC One M10 – seperti dipanggil ramai hari ini.

Bagi anda, apa pendapat anda berkenaan dengan rekaan hadapan yang tertiris untuk HTC One M10 ini?


TIPS & ULASAN