LG G5 dijangka membuat kejutan di MWC2016 dengan rekaan peranti modular. Antara ura-ura yang bertiup kencang ialah bateri peranti boleh ditukar secara meluncur dari tubuh peranti. Ini berbeza dengan sistem panel belakang dicabut yang digunakan kebanyakan peranti (termasuk LG G4) di pasaran sekarang. Rekaan modul bateri yang ditukar secara meluncur ini tertiris ke arena web.
Nampaknya bateri meluncur sekali dengan bahagian dagu LG G5. Pada waktu yang sama modul pemegang kameranya turut tertiris. Dengan modul ini bahagian belakang peranti mempunyai bonjol yang memudahkan ia dipegang dan dikatakan mempunyai bateri tambahan. Rekaannya seakan kerangka kamera yang pernah digunakan pada Nokia Lumia 1020 tiga tahun yang lalu. Sebuah lagi modul audio turut dikatakan wujud dan dihasilkan dengan kerjasama Bang&Olufsen. MWC2016 akan bermula Ahad ini dan segala ura-ura akan diketahui kebenarannya kelak. Persoalannya kepada pembaca adakah peranti dengan modul meluncur seperti G5 ini membuatkan anda teruja untuk memilikinya kelak?