Carian
Volvo Bakal Menggunakan Peranti Pintar Sebagai Ganti Kepada Kunci Kereta
February 20, 2016 Effi Saharudin

Pernahkah anda turun dari pejabat dan setibanya di tempat letak kereta anda baru menyedari kunci kereta tertinggal di meja kerja? Pernahkah juga anda ingin keluar dari rumah tetapi tidak menjumpai kunci kereta yang sebentar tadi dimainkan anak kecil? Kedua-dua insiden ini pernah berlaku kepada kami dan ianya amat menjengkelkan. Dengan teknologi terbaru Volvo, masalah sarwajagat pemilik kereta ini dapat diselesaikan. Mereka akan menggantikan kunci kereta fizikal dengan sebuah peranti pintar.

Volvo-Tanpa-Kunci-1

Sistem kunci elektronik ini menggunakan isyarat Bluetooth untuk membuka pintu kenderaan dan menghidupkan enjin. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Volvo dan kunci digital yang unik untuk setiap kereta boleh diprogramkan terus pada aplikasi. Menarik sekali pengguna tidak perlu menekan butang pada aplikasi untuk membuka pintu, sebaliknya kereta secara aktif akan mencari isyarat unik Bluetooth dari peranti pengguna untuk menyahkunci secara automatik. Pengguna hanya perlu berjalan ke kenderaan dan menarik menarik pemegang pintu. Kunci digital ini juga boleh dikongsikan kepada pemandu lain. Katakanlah anda di pejabat dan isteri mahu menggunakan Volvo di rumah yang kuncinya anda terbawa ke pejabat. Hantarkan kunci digital dan isteri boleh memandu kereta tanpa menyebabkan berantakan rumah tangga. Volvo akan menguji sistem ini pada perkhidmatan kereta sewa di Lapangan Terbang Gothenberg. Kunci digital hanya akan berfungsi selama beberapa hari sebelum dipadamkan. Sekiranya program percubaan berjaya ia mungkin akan diperkenalkan pada kenderaan jualan mereka tahun hadapan.

Komen