Cari @ Amanz

Oppo ialah syarikat yang agresif dalam memasarkan produk mereka di negara kita. Jenama mereka terpampang di seluruh negara dan di beberapa acara sukan besar sejak kebelakangan ini. Dalam masa yang singkat, jenama dari tanah besar China ini mula dikenali majoriti penduduk di Malaysia walaupun yang tinggal di luar bandar. Malah ketika pulang ke kampung kami mula menerima soalan dari sanak saudara mengenai jenama ini.

Dengan Oppo F1, mereka cuba menghasilkan  peranti dengan kemampuan optik yang baik. Ini digabungkan dengan rekaan yang lebih premium berbanding kebanyakan peranti kelas pertengahan di pasaran sekarang. Jadi adakah F1 peranti yang perlu anda miliki? Ulasan ini akan menjawab segala persoalan anda.

Spesifikasi

Oppo F1
Skrin 5″ IPS LCD HD (294 ppi)
Pemproses 1.5 x 4 + 1.21 x 4GHz Snapdragon 615
GPU Adreno 405
RAM 3 Gigabyte
Muatan Dalaman 16 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 PDAF
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Bateri 2500 mAh (Tiada Pengecasan pantas)
SIM/Telefoni Dwi NanoSIM / 4G
NFC Tiada
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM1198

Oppo F1 mempunyai banyak persamaan dengan Oppo R7 yang kami ulas tahun lalu. Jika diletakkan bersebelahan anda pasti sukar untuk membezakan dua peranti bersaudara ini. Perubahan yang dilakukan adalah kecil tetapi membuatkan F1 dijual pada harga lebih murah berbanding R7.

Skrin 5″ F1 kini menggunakan paparan IPS LCD 720P berbanding AMOLED FHD pada R7. Pemproses masih lagi menggunakan Snapdragon 615 yang mempunyai lapan teras. RAM sebesar 3 Gigabyte dikekalkan dan begitu juga dengan muatan dalaman 16 Gigabyte. Kepada yang mahukan ruang storan lebih besar, peranti menyokong penambahan memori dalaman sehingga 128 Gigabyte menggunakan kad MikroSD.

Kemampuan optik dipertingkatkan dengan kamera yang lebih baik sesuai dengan statusnya sebagai peranti yang mementingkan kemampuan fotografi. Saiz sensor kamera utama masih lagi 13 Megapixel dengan sistem pemfokusan PDAF tetapi dengan lensa f/2.0 bebranding f/2.2 pada R7. Walaubagaimanapun kamera hadapan masih 8 Megapixel dengan lensa f/2.4. Bateri sebesar 2500 mAh digunakan tetapi tidak menyokong sistem pengecasan VOOC seperti pada R7. Ini adalah sedikit lebih besar berbading yang digunakan pada R7. Masih tiada sokongan NFC dan pemancar infra merah. Seperkara lagi peranti ini juga hanya mempunyai sebuah pembesar suara mono pada panel belakang.

Rekaan

Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dan ini membuatkannya kelihatan menarik. Bahagian sisi peranti kini berbentuk bulat bagi meningkatkan tahap keselesaan ketika memegangnya sepanjang hari. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa yang diperbuat daripada logam manakala pada sisi bertentangan terdapat dua butang kawalan suara yang juga diperbuat daripada logam. Di bahagian atas terdapat bicu audio 3.5mm dan pada bahagian bawah terdapat port pengecasan MikroUSB.

Talam untuk dua SIM bersaiz nano terletak pada sisi kanan. Untuk mengeluarkan talam ini pengguna perlu menggunakan jarum. Slot SIM kedua pada talam ini adalah dari jenis hibrid dan turut boleh digunakan untuk meletakkan kad MikroSD. Ini bermakna dua SIM dan sebuah kad MikroSD tidak boleh digunakan secara serentak.

Oppo F1 masih mengekalkan penggunaan butang navigasi kapasitif. Butang home dihimpit oleh butang menu pada bahagian kiri dan butang back pada bahagian kanan. Sedikit mengecewakan mereka masih lagi menggunakan butang menu sedangkan ianya adalah legasi dari zaman Android Ice Cream Sandwich. Untuk mengakses skrin multi tasking, butang menu ini perlu ditekan untuk beberapa saat. Ketiga-tiga butang tidak berlampu dan ini menyukarkan penggunaan di dalam gelap.Panel belakang yang diperbuat daripada logam mempunyai kemasan yang matte. Ini memastikan ia tidak memerangkap cap jari dengan mudah.

Dari segi penggunaan seharian rekaan kompak F1 amat kami gemari. Keseluruhan bahagian skrin boleh diakses oleh jari walaupun menggunakan sebelah tangan. Sisi yang lebih bulat berbanding R7 juga membuatkan masalah sisi yang tajam diselesaikan. Kepada mereka yang gemarkan peranti yang selesa untuk digunakan sebelah tangan, Oppo F1 ialah peranti yang memenuhi kriteria anda. Tiada ada perkara negatif yang boleh kami katakan mengenai rekaan kecuali butang navigasi kapasitif yang masih lagi menggunakan konfigurasi lama dan butang menu yang pada hemat kami sudah agak ketinggalan.

 

Penggunaan Dan Antaramuka Peranti

Oppo F1 menggunakan sistem operasi Android 5.1.1 dengan pelancar ColorOS 2.1.0c. Seperti biasa antaramuka pelancar rekaan Oppo ini tidak mempunyai sebarang talam aplikasi. Dari segi rekaan pula ianya tidak menampakkan sebarang perbezaan ketara dengan pelancar Color OS sebelum ini. Tiga butang navigasi yang digunakan iaitu menu, home dan back. Kedudukan butang ini tidak boleh diubah tidak seperti yang mampu dilakukan pada peranti LG, HTC dan ZTE. Untuk melancarkan skrin multi tasking, butang menu perlu ditekan selama beberapa saat. Ini membuatkan penggunaan peranti sedikit perlahan jika dibandingkan dengan antaramuka peranti yang menggunakan pelancar berbeza. Skrin multi tasking juga hanya mampu menunjukkan tiga aplikasi sahaja pada satu-satu masa dan bukannya jenis bertingkat yang dilihat pada Android 5.1 Vanilla.

Sepanjang tempoh ulasan pelancar ini berfungsi dengan baik. Aplikasi dapat dilancar dengan pantas tanpa sebarang masalah. ColorOS mungkin bukan pelancar paling menarik dari segi rekaan tetapi ia pada hemat kami juga akan mendatangkan sebarang masalah. Seperti biasa pelancar ini menyertakan beberapa fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Vanilla. Ini akan kami bincangkan di perenggan seterusnya.

Oppo-F1-UI-1 Oppo-F1-UI-2 Oppo-F1-UI-3

Kustomasi Dan Fungsi Tambahan

Color OS 2.1.0i membenarkan kustomasi tema yang menyeluruh. Pilihan tema yang boleh dimuat turun menerusi aplikasi Theme juga banyak dan pasti ada yang sesuai dengan jiwa anda. Selain daripada itu animasi skrin apabila tatalan juga boleh diubah mengikut keperluan. Tidak banyak perubahan yang saya sedari pada Color OS 2.1 berbanding versi sebelum ini.

Skrin boleh ditutup dan dibuka semula dengan melakukan aksi dwi-tap. Tatalan ke bawah menggunakan tiga jari pula secara automatik menangkap imej yang dipaparkan. Tatalan ke bawah dan ke atas menggunakan dua jari pula akan mengawal tahap kekuatan audio. Fungsi melancarkan aplikasi dengan melakar bentuk tertentu dari skrin yang dimatikan masih wujud cuma tidak diaktifkan semasa kali pertama peranti digunakan. Ia perlu diaktifkan sendiri oleh pengguna.

Oppo F1 mempunyai skrin hanya sebesar 5″ dan ini memudahkan ia digunakan sebelah tangan. Setiap bahagian skrin boleh diakses menggunakan jari tanpa sebarang masalah. Tetapi jika pengguna mempunyai tangan yang kecil serta jari yang pendek mod sebelah tangan (one handed mode) disertakan. Pengguna hanya perlu mentatal jari dari bucu bawah sebelah kiri ataupun kanan ke bahagian tengah skrin untuk mengaktifkan mod sebelah tangan. Paparan skrin akan mengecil kepada saiz sekitar 3.5″.

Akhir sekali dan ini mungkin fungsi paling menarik ialah Long Screenshot. Beberapa tangkapan paparan skrin boleh diambil menjadi sebuah gambar yang panjang. Zaman mengambil lebih dari satu tangkapan paparan skrin untuk merekod perbualan panjang di WhatsApp contohnya kini boleh dilupakan. Gambar paparan skrin panjang ini boleh diambil dengan menekan butang home dan butang menguatkan suara. Apabila kedua-duanya ditekan serentak sebuah menu tambahan akan muncul pada skrin membolehkan anda merakam beberapa lagi paparan skrin untuk digabungkan kemudian.

Oppo-F1-UI-4

Kamera

Kamera utama adalah sebesar  13 Megapixel f/2.0 dengan sistem PDAF manakala kamera hadapan pula sebesar 8 Megapixel f/2.4. Seperti yang kami sebutkan pada ruangan rekaan beberapa perenggan di atas, ini adalah peningkatan dari yang ditemui pada Oppo R7. Pada tetapan tertinggi 13 Megapixel, gambar diambil pada nisbah 4:3. Untuk gambar 16:9 resolusi perlu diturunkan ke 10 Megapixel. Dari segi kemampuan video pula, Oppo F1 mengambil video pada resolusi maksimum 1080P.

Antaramuka kamera adalah mudah digunakan dan kelihatan kemas. Terdapat mod manual bagi mereka yang memerlukan kawalan lebih mendalam ketika gambar diambil. Terdapat sembilan pra-tetapan disertakan seperti Panorama, HDR, Ultra HD dan Slow Shutter. Jumlah pratetapan yang ingin dipaparkan boleh ditambah dan dikurangkan mengikut keperluan pengguna.

Oppo-F1-Camera-1

Kemampuan kamera adalah baik. Penghasilan semula warna dan ketajaman gambar yang diambil jelas kelihatan. Jika gambar yang lebih tajam diperlukan, mod Ultra HD boleh digunakan bagi memenuhi kehendak pengguna. Di dalam situasi pencahayaan yang terang kualiti gambar adalah lebih baik dari kebanyakan peranti kelas pertengahan yang pernah kami ulas sebelum ini. Masalah gambar kelihatan agak gelap seperti yang dilihat pada peranti-peranti Oppo yang kami pernah gunakan juga nampaknya sudah diperbaiki. Di dalam situasi pencahayaan yang rendah kualiti gambar mula menampakkan masalah noise dan softening pada kawasan tertentu.

Oppo F1 IMG20160303115822

Oppo F1IMG20160218120356 Oppo F1IMG20160218120439

Oppo F1 IMG20160302200633 Oppo F1 IMG20160303115744

Video

Kualiti video adalah sederhana. Gegaran yang berlaku apabila kamera bergerak adalah jelas kelihatan kerana ketiadaan sistem OIS. Masalah seperti ini adalah biasa kami lihat pada kesemua peranti kelas pertengahan di pasaran.

Penanda Aras

Pemproses Snapdragon 615 lapan teras digunakan bagi memperkasakan peranti ini. Selepas ujian penanda aras dilakukan, markah yang dicatatkan adalah seperti di bawah. Jelas kelihatan ia bukannya pemproses paling berkuasa tetapi di dalam penggunaan dunia sebenar ia lebih dari memadai untuk tugasan harian. Tatalan berjalan dengan lancar dan aplikasi dapat dibuka dengan pantas. Peranti juga tidak menjadi panas walaupun ketika menggunakan aplikasi yang memerlukan pemprosesan intensif. Secara keseluruhan ia berfungsi dengan baik dan tidak mendatangkan masalah kepada kami sepanjang tempoh ulasan,

Oppo-F1-Bencies-2

Oppo-F1-Benchies-2

 


 

Bateri

Bateri sebesar 2500 mAh yang digunakan adalah lebih besar dari yang dilihat pada Oppo R7. Jadi tidak mengejutkan F1 mampu bertahan jauh lebih lama berbanding R7. Pada penggunaan berat peranti mampu bertahan selama hampir 10 jam. Pada penggunaan sederhana pula ia mampu bertahan sehingga 16 jam. Ini adalah jangka hayat yang baik bagi sebuah peranti pintar moden. Kekurangan yang kami boleh katakan tentang F1 ialah tidak seperti R7, pengecasan pantas VOOC tidak disertakan.

Pengecasans semula dari sifar mengambil masa hampir dua jam. Selepas menggunakan peranti-peranti Oppo dengan VOOC, kami rasakan ketiadaan sistem pengecasan pantas ini adalah agak merugikan. Pada tahun 2016, pengecasan pantas seharusnya menjadi standard dan bukannya dianggap sebuah fungsi tambahan.

 


Pesaing

Mari bandingkan spesifikasi F1 dengan dua lagi peranti yang turut mengetengahkan fungsi kamera yang baik. Samsung Galaxy A5 dan Asus Zenfone Selfie ialah dua peranti dengan spesifikasi yang  hampir setanding.

Peranti Pesaing
Oppo F1 Samsung Galaxy A5 2016 Asus Zenfone Selfie
5.0″ IPS LCD 720P (294 PPI) 5.2″ SAMOLED FHD (424 PPI) 5.5″ IPS LCD FHD (403 PPI)
1.5 x 4 + 1.21 X 4 GHz Snapdragon 615 1.5 x 4 + 1.21 X 4 GHz Snapdragon 615 1.5 x 4 + 1.21 X 4 GHz Snapdragon 615
Adreno 405 Adreno 405 Adreno 405
3 Gigabyte 2 Gigabyte 3 Gigabyte
16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 16 Gigabyte (128 GB MikroSD) 32 Gigabyte (128 GB MikroSD)
Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 PDAF Kamera Utama 13 Megapixel f/1.9 OIS Kamera Utama 13 Megapixel f/2.0 Laser
Kamera Hadapan 8 Megapixel f/2.4 Kamera Hadapan 5 Megapixel f/1.9 Kamera Hadapan 13 Megapixel f/2.0
2500 (Tidak boleh dibuka) 2900mAh (Tidak boleh dibuka) Pengecasan pantas.
3000 mAh (Boleh Dibuka)
RM 1198 RM 1599 RM 1049

Kesimpulan

Oppo F1 ialah peranti dengan bahan binaan dan kemasan yang baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Sisi peranti yang kini lebih bulat memastikan keselesaan ketika menggenggamnya di dalam telapak tangan. Pemproses mungkin bukan yang paling berkuasa tetapi Android 5.1.1 dengan ColorOS memastikan peranti berfungsi tanpa sebarang masalah dan pantas. Kemampuan bateri juga boleh dibanggakan dengan hayat bateri mencecah 10 jam pada penggunaan berat.

Peranti ini dipasarkan dengan  kemampuan optik yang baik. Dari beberapa gambar ujian yang diambil harus kami akui memang F1 mempunyai kemampuan kamera yang lebih berbaik berbanding peranti kelas pertengahan yang kami ulasan sebelum ini. Gambar yang diambil tajam dengan penghasilan warna yang baik. Majoriti peranti di dalam  kelas yang sama dengan F1 tidak mengambil gambar yang sedikit gelap dan mempunyai masalah kekuningan.

Kekurangan yang paling jelas untuk F1 ialah ketiadaan pengecasan pantas, butang navigasi kapasitif tidak berlampu, skrin hanya 720P dan harga yang kurang kompetitif dengan pesaing di pasaran. Adakah Oppo F1 peranti yang baik? Jawapannya ialah ya sungguhpun selepas menyenaraikan kekurangannya di atas. Ini adalah kerana kelebihan masih lagi melebihi kekurangan yang ada. Juga seperti kami katakan kemampuan kamera F1 adalah antara yang terbaik di dalam kelasnya. Sekiranya anda mahukan peranti kelas pertengahan dengan kamera terbaik di dalam kelasnya, Oppo F1 ialah peranti untuk anda.

 

Kelebihan Kekurangan
  • Kualiti binaan yang baik. Tubuh logam mempunyai sisi bulat dan membuatkannya selesa dipegang
  • Peranti berfungsi dengan lancar sepanjang tempoh ulasan
  • Kemampuan kamera yang baik bagi peranti kelas pertengahan.
  • Pelbagai fungsi tambahan seperti kustomasi antaramuka, dwi-tap dan pergerakan jari disokong.
  • Hayat bateri yang amat baik.
  • Butang kapasitif tidak berlampu
  • Masih menggunakan butang Menu dan bukannya Multi Tasking
  • Tiada sokongan pengecasan pantas VOOC.
  • Harga kurang kompetitif.

Skor-Amanz-Oppo-F1

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd