Pandang Pertama Galaxy S7 – Telefon Terbaik Samsung Yang Mengatasi Pelbagai Kekurangan S6

Pandang Pertama Galaxy S7 – Telefon Terbaik Samsung Yang Mengatasi Pelbagai Kekurangan S6

Diterbitkan pada Feb 22, 2016 oleh .

Samsung pada hari ini telah memperkenalkan telefon pintar terbaru mereka, Samsung Galaxy S7 secara rasminya. Seperti sebelum ini, ia hadir dalam dua variasi, iaitu Galaxy S7 yang menawarkan penggunaan telefon pintar biasa, dan juga Galaxy S7 Edge yang menawarkan skrin melengkung pada bahagian tepi dengan akses kepada beberapa ciri-ciri tambahan.

Samsung Galaxy S7


Rekaan Dan Spesifikasi

Samsung Galaxy S7
Skrin 5.1″ (2560×1440)
Pemproses Lapan Teras (2.3Ghz + 1.6GHz)
atau
Empat-Teras (2.15GHz + 1.5GHz)
Memori 4 GB RAM
Muatan Dalaman 32GB/64GB + MikroSD
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7 OIS
Kamera Depan 5 Megapixel f/1.7
Bateri 3000mAh
SIM/Telefoni Nano-SIM / 4G
Berat 152g
Sistem Android 6.0. Marshmallow

Pada tahun lepas, Samsung telah memperkenalkan Galaxy S6 dengan rekaan yang sangat kemas, dilengkapi dengan bingkai berasaskan logam dan bahagian hadapan dan belakang berasaskan kaca. Ia menerima pujian ramai pengguna, dan pada Galaxy S7 pihak Samsung mengekalkan elemen rekaan yang sama dengan sedikit penambah-baikkan.

Galaxy S7 hadir dengan skrin bersaiz 5.1-inci dengan paparan resolusi 2560×1440 pixel. Dengan penggunaan skrin daripada Samsung, ia menawarkan paparan yang sangat terang dan jelas – apatah lagi dengan resolusi gambar yang sangat tinggi.

Samsung juga turut mengatasi salah satu perkara yang tidak disukai ramai pada Galaxy S6, iaitu kamera belakang yang tertimbul. Kamera belakang kini masih tertimbul – tetapi tidak ketara seperti Galaxy S6. Samsung mengatakan kamera di belakang hanya tertimbul sekitar 0.46 mm sahaja.

Disamping itu, satu lagi perkara menarik yang disertakan pada Galaxy S7 adalah sokongan kalis air. Kini, pengguna boleh menggunakannya ketika hujan, dan tidak perlu risau sekiranya air tertumpah atau peranti terjatuh dalam air. Untuk makluman, sokongan kalis air telah terdapat pada Galaxy S5 sebelum ini, namun implementasinya kurang mesra kerana pengguna perlu membuka dan menutup sebuah port khusus. Melalui Galaxy S7, perlindungan dibawakan pada bahagian dalaman peranti, dan mengekalkan rekaan port pengecasan yang terbuka pada bahagian luar.

Bercakap mengenai port, Samsung masih kekal menggunakan mikro-USB untuk pengecasan peranti dan bukan USB Type-C. Ini boleh dikatakan kerana aksesori dan penggunaan USB Type-C masih tidak meluas lagi, dan ini juga akan memudahkan pengguna untuk menggunakan aksesori sedia ada mereka pada peranti ini.

Pada butang Home di hadapan, Samsung menyertakan sokongan pengimbas cap jari untuk memudahkan pengguna mengakses peranti, sekaligus menawarkan sokongan sekuriti tambahan melaluinya.

Samsung Galaxy S7

Samsung juga kini menyertakan kembali sokongan kad mikro-SD yang telah hilang pada Galaxy S6 sebelum ini. Melalui ruangan kad mikro-SD, pengguna boleh memperluaskan penggunaan storan mereka sehingga 200GB. Namun, berbeza dengan penawaran pada beberapa peranti lain, pada Galaxy S7, ia hadir dengan sokongan SIM-hibrid di beberapa pasaran, dimana pengguna boleh menggunakan ia sebagai ruangan untuk mikro-SD, ataupun untuk kad-SIM kedua. Ia masih tidak diketahui lagi apakah variasi peranti yang bakal dibawa oleh Samsung untuk pengguna di Malaysia.


Prestasi
Bercakap mengenai sesuatu peranti, salah satu perkara yang sering ditanya ramai adalah berkenaan dengan penawaran kuasa pemprosesannya. Samsung Galaxy S7 hadir dalam dua variasi – iaitu menggunakan cip lapan teras ataupun menggunakan cip empat-teras, dimana salah satunya adalah cip Exynos, dan satu lagi adalah cip Snapdragon.

Samsung mengatakan Galaxy S7 menawarkan peningkatan kuasa pemprosesan lebih 30% berbanding dengan Galaxy S6, dan sokongan grafik yang ditingkatkan lebih 60% berbanding Galaxy S6.

Dengan penawaran kuasa pemprosesan tinggi ini, ia boleh membuatkan pengguna melaksanakan pelbagai tugasan yang lebih baik pada peranti mereka. Sebagai contoh, kini dengan pengenalan kamera Gear 360, Samsung membolehkan pengguna memproses gambar 360-darjah yang dirakamkan terus pada telefon pintar mereka dengan serta-merta.

Disamping itu, untuk pengguna yang gemarkan permainan, Samsung menyertakan sokongan Game Launcher yang membolehkan ia mengoptimasikan penggunaan pemprosesan sama ada tinggi ataupun rendah – dan pada masa yang sama membolehkan anda memainkan ia untuk waktu yang lebih lama. Sebagai contoh, sekiranya anda memainkan permainan Candy Crush, anda mungkin tidak memerlukan kuasa pemprosesan yang tinggi, dan memadai dengan kuasa yang sangat rendah.

Samsung Galaxy S7

Melengkapkan Game Launcher juga adalah sokongan Game Tool yang membolehkan anda membuat beberapa perkara, seperti mengelakkan gangguan, nyah-aktifkan penggunaan butang pada Galaxy S7, merakamkan permainan, dan beberapa yang lain.

Dengan pelbagai penawaran ini, semestinya ramai yang risau peranti mereka akan menjadi panas dengan lebih pantas. Untuknya, Samsung menyertakan sokongan yang dinamakan sebagai Thermal Spreading, dimana ia menggunakan fungsi penyejukkan berasaskan air didalam peranti berkenaan.

Samsung turut mengatakan Galaxy S7 merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menyokong Vulkan API, iaitu piawaian industri untuk pengoptimasian permainan bagi pelbagai jenis saiz peranti.


Kamera
Pada hari ini, salah satu ciri yang diberi perhatian oleh semua pengguna ketika membeli telefon pintar adalah sokongan kameranya. Samsung telah mencuri perhatian ramai dengan penawaran kamera yang sangat baik pada Galaxy S6 sebelum ini, dan ia diteruskan melalui Galaxy S7.

Pada Galaxy S7, Samsung menggunakan lensa f/1.7 pada bahagian hadapan dan belakang, yang mana membolehkan ia merakamkan lebih cahaya melaluinya. Pada bahagian belakang, Samsung menggunakan kamera 12-megapixel yang menggunakan sensor dwi-pixel. Melaluinya, ia menawarkan sokongan PDAF 100%, membolehkan sesuatu gambar difokuskan dengan serta-merta.

Samsung Galaxy S7

Bagi anda yang gemar menggunakan telefon pintar untuk merakamkan gambar, anda mungkin sedari akan lensa akan mula memfokuskan sesuatu gambar apabila ia pemandangan berubah, dan anda boleh lihat pemfokusan semula tersebut. Perkara ini cuba diatasi oleh Samsung pada Galaxy S7 dan ia menawarkan pemfokusan serta-merta melaluinya. Pada mulanya, bagi kami ia tidak begitu ketara, tetapi apabila ia dibandingkan dengan Galaxy S6 dan juga iPhone, ia memperlihatkan perbezaan yang sangat jauh.

Galaxy S7 juga menawarkan sokongan rakaman pada keadaan cahaya rendah yang sangat baik, berbeza dengan beberapa peranti lain di pasaran.

Samsung Galaxy S7

Beberapa mod rakaman gambar khusus turut disertakan pada Galaxy S7, termasuk salah satunya adalah rakaman gambar panorama yang turut menyertakan animasi gerakan – penambah-baikkan berbanding sebelum ini yang terhad kepada gambar panorama statik sahaja.

Untuk kamera hadapan, Samsung menyertakan kamera 5-megapixel dengan lensa yang sama untuk membolehkan anda merakamkan gambar selfie yang cantik walaupun ketika hari gelap.


Samsung Galaxy S7 Edge – Telefon Pintar Dengan Skrin Melengkung Di Tepi

Samsung Galaxy S7 Edge
Skrin 5.5″ (2560×1440)
Pemproses Lapan Teras (2.3Ghz + 1.6GHz)
atau
Empat-Teras (2.15GHz + 1.5GHz)
Memori 4 GB RAM
Muatan Dalaman 32GB/64GB + MikroSD
Kamera Utama 12 Megapixel f/1.7 OIS
Kamera Depan 5 Megapixel f/1.7
Bateri 3600mAh
SIM/Telefoni Nano-SIM / 4G
Berat 157g
Sistem Android 6.0. Marshmallow

Bersama-sama pengenalan Galaxy S7 adalah sebuah lagi variasi dibawah keluarga sama, iaitu Galaxy S7 Edge. Samsung Galaxy S7 Edge ini membawakan skrin melengkung pada kiri dan kanan, sekaligus menyertakan beberapa ciri-ciri tambahan melaluinya.

Ciri tambahan ini dibawakan oleh Samsung melalui apa yang dipanggil mereka Edge UX. Ia membolehkan pengguna mengakses beberapa aplikasi, senarai buku alamat, atau tugasan dengan menatal daripada bahagian tepi skrin.

Versi Edge UX terikini turut menawarkan beberapa fungsi baru, termasuk paparan dua lajur aplikasi – selain membolehkan pengguna mengakses kandungan daripada Yahoo! dengan pantas. Antara kandungan yang boleh diakses adalah termasuk berita, skor sukan dan beberapa yang lain.

Pada Galaxy S7 Edge, ia kini membawakan skrin bersaiz 5.5-inci dan turut menyertakan bateri berkapasiti 3600mAh bersama-sama dengannya. Ini menjadikan Galaxy S7 Edge salah satu peranti yang tidak begitu kecil atau tidak begitu besar untuk dipegang – jikalau dibandingkan dengan Galaxy S6 Edge atau Galaxy S6 Edge+. Fungsi lain yang dibawakan pada Galaxy S7 Edge adalah lebih kurang sama seperti pada Galaxy S7.

Samsung Galaxy S7 Edge


Fungsi Baru
Samsung Galaxy S7 menyertakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, dan seperti biasa, ia dilengkapi dengan antaramuka TouchWiz yang dikemaskini, sekaligus menyertakan beberapa fungsi baru bersama-sama dengannya.

Always-On-Display – Pada Galaxy S7, Samsung menyertakan sokongan skrin yang sentiasa aktif, memaparkan pilihan pengguna, sama ada masa dan notifikasi, kalendar ataupun gambar pilihan pengguna. Samsung mengatakan ia menggunakan kuasa yang sangat rendah, dan hanya menggunakan kuasa bateri kurang 1% sejam untuk menguasakannya. Melalui paparan Always-On-Display, pengguna boleh melihat apakah perkara baru pada peranti mereka seperti notifikasi dan sebagainya, tanpa perlu mengaktifkan keseluruhan peranti seperti sebelum ini.

Game Launcher – Seperti dinyatakan sebelum ini, Samsung dilihat memberikan lebih perhatian kepada permainan dan penggunaan GPU. Melalui Game Launcher, pengguna boleh mengoptimasikan penggunaan kuasa ketika memainkan permainan video, disamping turut ditawarkan dengan beberapa ciri-ciri seperti merakamkan video dan sebagainya.

Edge-UX – Khusus untuk Samsung Galaxy S7 Edge, antaramuka Edge UX telah dikemaskini, dan membawakan beberapa pembaharuan baru. Salah satunya adalah paparan dua lajur aplikasi pada Apps Edge, selain penambah-baikkan pada Task Edge dan People Edge. Samsung juga turut bekerjasama dengan Yahoo! dalam menawarkan beberapa informasi pada bahagian tepi peranti berkenaan dengan pantas. Sokongan seperti pembaris, kompas dan sebagainya masih dikekalkan pada Galaxy S7 Edge.

Samsung Galaxy S7

Now-On-Tap – Salah satu ciri baru yang hadir bersama-sama Android 6.0 Marshmallow adalah Now-On-Tap. Melaluinya, pengguna boleh tekan seketika butang Home, dan Google akan memaparkan apakah maklumat berkaitan dengan sesuatu aplikasi atau kandungan yang sedang dibuka oleh anda ketika itu.


Penutup
Melalui Samsung Galaxy S7, pihak Samsung dilihat membawakan penyelesaian kepada pelbagai kekurangan yang telah dikenal-pasti pada Galaxy S6 sebelum ini – dan pada masa yang sama, ia memperlihatkan Samsung mendengar pelbagai maklumbalas pengguna, dan ingin menawarkan pengalaman yang baik kepada semua orang.

Seperti sebelum ini, kita mungkin akan dapat melihat Samsung membawa masuk Galaxy S7 ke pasaran tempatan dengan pantas, berkemungkinan seawal bulan Mac atau April ini. Harga jualannya masih tidak diketahui, dan semestinya ia bakal menjadi penentu kepada semua pengguna sama ada ingin beralih kepada telefon pintar baru ini ataupun sebaliknya.

Kelebihan Kekurangan
  • Rekaan premium, dan menyertakan sokongan kalis air.
  • Menyertakan sokongan mikro-SD sehingga 200GB.
  • Sokongan penyejukan peranti berasaskan air untuk mengelak peranti menjadi panas – terutamanya ketika bermain permainan video.
  • Sokongan pengecasan pantas.
  • Kamera yang sangat baik – boleh fokus pada gambar dengan lebih pantas berbanding Galaxy S6 mahupun iPhone.
  • Penyertaan aplikasi Samsung dan Microsoft yang terlalu banyak (bagi kami) secara terbina.

TIPS & ULASAN