Acara yang dinantikan oleh ramai peminat dunia teknologi mudah alih kini telah tiba. Mobile World Congress 2016 akan berlangsung pada 22 Februari 2016 sehingga 25 Februari bakal menyaksikan pelbagai pengenalan produk baru dan juga pengenalan teknologi serta inovasi berkaitan dunia mudah alih yang semakin memajukan kita semua.
Seperti tahun lepas, terdapat beberapa pengeluar yang mengadakan pengumuman mereka sehari lebih awal dari dari acara MWC sendiri. Pada hari ini sahaja, Huawei, ZTE, LG dan juga Samsung bakal memperkenalkan produk baru mereka. Huawei bakal tampil dengan produk yang menghadirkan Stylus, mungkin bakal menandingi populariti Samsung Galaxy Note. ZTE dan LG bakal tampil dengan produk terbaru mereka, dengan LG yang akan hadir dengan LG G5. Samsung pula sudah semestinya bakal memperkenalkan model flagship mereka, iaitu Galaxy S7.
Pengeluar-pengeluar lain juga bakal membuat pengumuman yang merubah landskap teknologi mudah alih. Oppo dijangka mempamerkan teknologi kuasa dan pengimejan mereka, manakala Xiaomi yang popular dengan penawaran telefon berspesifikasi tinggi pada harga mampu milik bakal memperkenalkan Mi 5 pada minggu ini, dan ini kali pertama mereka mengadakan acara untuknya.
Selain dari pengenalan produk baru, teknologi baru juga bakal dipamerkan di acara ini. Perkara seperti Internet of Things, Realiti-Maya, malah kemajuan capaian 5G bakal dipersembahkan pada cara sebegini. Teruskan bersama kami untuk hari-hari akan datang.