Cari @ Amanz

LG G5 Dilancarkan Secara Rasmi – Kamera Belakang Berkembar Dan Modul Tambahan Boleh Luncur

Link Copied!

Ura-ura spesifikasi dan rekaan LG G5 akhirnya terjawab dengan pelancarannya secara rasmi hari ini. Seperti beberapa gambar yang tertiris sebelum ini, LG G5 sah mempunyai kamera utama berkembar pada panel belakang dan juga modul bahagian bawah boleh luncur. Peranti ini mempunyai skrin sebesar 5.3″ IPS LCD Quantum Display QHD, diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 4 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte dengan sokongan MikroSD sehingga 2 Terbayte.

Kemampuan optik ialah kamera berkembar pada bahagian belakang 16+8 Megapixel dan kamera hadapan 8 Megapixel. Dari segi bateri pula ia dilengkapi bateri 2800 mAh yang boleh diluncur keluar untuk dibuka. Bateri dicas menggunakan port USB-C dan sistem pengecasan QuickCharge 3.0 disokong. Peranti boleh dicas sehingga 85% dalam masa 30 minit sahaja.

LG-G5-1

Kita mulakan dengan kemampuan optik. Mesti ada yang tertanya-tanya mengapa ia dilengkapi kamera berkembar? Kamera 16 Megapixel pertama mempunyai sistem OIS dan mengambil gambar biasa. Kamera kedua pula mempunyai lensa sudut lebar. Aplikasi kamera akan memilih lensa mana yang paling sesuai untuk mengambil gambar. Skrin hadapan pula menggunakan teknologi dwi-paparan yang dilihat sebelum ini pada LV V10. Sudut atas sebelah kanan skrin akan sentiasa aktif bagi menunjukkan notifikasi peranti. Keseluruhan peranti kini diperbuat daripada logam. Butang kuasa dan pengimbas cap jari berbentuk bulat terletak pada bahagian belakang. Butang kawalan suara yang dahulunya juga terletak pada panel belakang kini diubah ke sisi kiri. Bagi yang menyukai rekaan butang kuasa dan suara pada panel belakang yang menjadi rekaan unik LG G4, ini mungkin sedikit mengecewakan.

Perubahan dilakukan bagi membolehkan modul kamera berkembar digunakan. Perubahan paling drastik ialah penggunaan modul boleh luncur pada bahagian dagu. Modul asas ialah yang membolehkan bateri ditanggalkan dan digantikan. Keseluruhan bahagian dagu peranti meluncur ke bawah apabila diperlukan. LG turut menyertakan modul audio 32 Bit LG HiFi Plus dengan kerjasama Bang&Olufsen Play. Pengguna boleh mendengar audio berkualiti tinggi dengan memasang DAC tambahan ini.

Modul kamera LG CAM Plus pula membolehkan G5 dipegang dengan lebih selesa seperti yang kita lihat pada Lumia 1020. Bonjolan pada modul ini mempunyai bateri 1200 mAh bagi memanjangkan hayat peranti dan mengandungi butang kamera dan kawalan zoom. Maklumat harga dan tarikh sebenar ia akan mula dijual tidak boleh diketahui setakat ini. Teruskan membaca Amanz untuk maklumat terkini mengenai LG G5 dalam masa terdekat.

LG-HiFi-Plus-1 LG-Cam-Plus-1


Komen ()