Bersama-sama pengumuman Samsung Galaxy S7 dan Galaxy S7 Edge, pihak Samsung turut mengambil peluang untuk memperkenalkan sebuah kamera bersaiz kompak yang mampu merakamkan gambar dan video daripada pelbagai sudut dengan hanya sekali tekan, iaitu Samsung Gear 360.
Samsung Gear 360 dibangunkan untuk pelbagai tujuan – daripada digunakan ketika mengembara, bercuti, ataupun ketika lepak dengan kawan-kawan atau ahli keluarga.
Untuk merakamkan gambar dalam 360-darjah, Samsung Gear 360 menggunakan dua kamera 15-megapixel dengan lensa mata ikan. Ia membolehkan pengguna merakamkan gambar pada resolusi sehingga 3840×1920 pixel, serta pada masa yang sama, hasil rakaman adalah dalam bentuk 360-darjah yang boleh digerakkan untuk lihat sekeliling.
Untuk tujuan rakaman, ia menggunakan sebuah aplikasi khusus yang turut membolehkan pengguna membuat gabungan video dan gambar 360-darjah terus pada telefon pintar.
Samsung turut mengatakan Gear 360 turut boleh digunakan untuk merakamkan gambar atau video 180-darjah sahaja sekiranya pengguna tidak ingin merakamkan gambar dalam bentuk 360-darjah.
Gear 360 ini turut hadir dengan sokongan kalis air IP53, dan menyertakan paparan 0.5-inci pada bahagian atasnya. Ia turut menyertakan ruangan mikro-SD untuk pengguna memperluaskan ruangan storan untuk digunakan ketika merakamkan gambar.
Gear 360 boleh digunakan bersama-sama Galaxy S7, Galaxy S7 Edge, Galaxy S6 Edge+, Galaxy Note 5, Galaxy S6 Edge dan juga Galaxy S6. Ia akan mula dipasarkan bermula suku kedua 2016 ini.