Linux Mint merupakan salah satu sistem operasi sumber terbuka yang popular. Seperti pelbagai sistem sumber terbuka yang lain, Linux Mint menawarkan fail mereka secara percuma, membolehkan sesiapa sahaja yang berminat untuk memuat-turun dan memasangnya pada komputer mereka.
Apa pun, agak mendukacitakan kerana baru-baru ini, laman mereka telah digodam, dan pengodam berkenaan mengambil peluang untuk menyertakan versi ISO untuk Linux Mint yang telah ditambah dengan backdoor.
Ini membuatkan sebarang pemasangan menggunakan fail ISO berkenaan terdedah kepada pelbagai masalah sekuriti.
Pihak pembangun Linux Mint meminta pengguna membuang fail ISO berkenaan, dan sekiranya telah memasang ia pada komputer, maka jadikan komputer berkenaan offline dan membuat salinan pendua data sebelum memasang versi baru.
Buat masa ini, hanya versi yang dimuat-turun bermula daripada 20 Februari 2016 sahaja yang terjejas – sementara fail ISO yang dimuat-turun sebelum tarikh berkenaan adalah masih selamat.