Sony Memperkenalkan Xperia X, Xperia X Performance Dan Xperia XA (Dikemaskini)

Sony Memperkenalkan Xperia X, Xperia X Performance Dan Xperia XA (Dikemaskini)

Diterbitkan pada Feb 22, 2016 oleh .

Sony hari ini telah mengambil pentas utama, dan memperkenalkan tiga peranti di bawah jenama baru, iaitu jenama keluarga siri-X. Siri-X ini membawakan rekaan yang dikemaskini, dan tiga peranti tersebut adalah Sony Xperia X, Xperia X Performance dan juga Sony Xperia XA. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam dan panel kaca pada siri Xperia Z tidak lagi digunakan. Bucu peranti berbentuk bulat dan tidak bersegi seperti yang dilihat pada Z5.

Sony Xperia X dan Xperia XA ini diposisikan sedikit atas berbanding dengan peranti keluarga pertengahan. Sony mengatakan ini merupakan evolusi jenama mereka, dan ketiga-tiga peranti ini hadir dengan sokongan kamera, bateri dan rekaan yang baik.

Sony Xperia X

Xperia X Performance mempunyai skrin sebesar 5″ IPS LCD HD Penuh, diperkasakan pemproses Snapdragon 820, RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32 Gigabyte dengan sokongan kad MikroSD sehinga 200 Gigabyte. Kemampuan optik ialah kamera utama 23 Megapixel dan kamera hadapan 13 Megapixel. Bateri sebesar 2700 mAh digunakan dengan sokongan pengecasan pantas. Pengimbas cap jari terletak pada sisi sebelah kanan seperti yang dilihat pada Xperia Z5 sebelum ini. Sama seperti Z5, Xperia X Performance turut mempunyai kemampuan kalis air IP68. Pembesar suara stereo pada bahagian hadapan juga nampaknya dikekalkan.

Sony-Xperia-X-Performance-1

Xperia X mempunyai spesifikasi yang sama dengan X Performance kecuali pemproses digantikan dengan Snapdragon 650, bateri sebesar 2650 mAh dan ia tidak mempunyai kemampuan kalis air. Akhir sekali Xperia XA mempunyai skrin 5″ IPS LCD 720P, pemproses MediaTek MT6755 Helio P10, RAM sebesar 2 Gigabyte dan muatan dalaman 16 Gigabyte dengan sokongan MikroSD sehingga 200 Gigabyte. Kemampuan optik pula ialah kamera utama 13 Megapixel dan kemara hadapan 8 Megapixel. Bateri sebesar 2300 mAh digunakan. Perbezaan paling ketara peranti ini dengan dua peranti sebelum ini ialah ia tidak mempunyai pembesar suara stereo pada bahagian hadapan dan tiada pengimbas cap jari. Sebaliknya rekaan butang bulat klasik Omnibalance digunakan.

Ketiga-tiga peranti akan menggunakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow dengan beberapa kustomasi Sony. Teknologi pengecasan pantas Qnovo Adaptive Charging yang digunakan pula menurut Sony bukan sahaja memastikan pengecasan pantas tetapi memastikan hayat bateri akan bertahan lama sungguhpun dicas dengan pantas selepas dua tahun.

Sony-Xperia-XA-1

Bercakap mengenai ciri-cirinya, siri Xperia X ini menawarkan prestasi rakaman gambar yang sangat baik, dan ia dibangunkan dengan kerjasama jurutera daripada bahagian kamera Sony Alpha. Sony mengatakan kamera pada peranti ini boleh membuat anda memilih objek, dan ia seterusnya meramal gerakan untuk membolehkan anda merakamkan gambar dengan baik.

Disamping itu, sokongan bateri sehingga dua hari turut disertakan pada peranti ini. Dari segi rekaan, Xperia XA membawakan rekaan skrin dari bucu ke bucu, dan menawarkan kaca yang melengung 2.5D untuk memberikan keselesaan pada tangan. Masalah skrin yang tidak selesa digunakan seperti di dalam ulasan Xperia Z5 tempohari nampaknya berjaya diselesaikan.

Ketiga-tiga peranti ini akan mula dipasarkan dalam beberapa bulan lagi.


TIPS & ULASAN