Pandang Pertama Huawei MateBook – Komputer 2-Dalam-1 Daripada Huawei

Pandang Pertama Huawei MateBook – Komputer 2-Dalam-1 Daripada Huawei

Diterbitkan pada Feb 22, 2016 oleh .

Huawei merupakan satu jenama yang jika bukan popular kerana peranti pintar yang dihasilkan mereka, mungkin popular kerana penyediaan infrastruktur teknologi komunikasi. Namun semua itu mungkin bakal berubah tidak lama lagi kerana mereka telah memperkenalkan komputer pertama mereka iaitu Huawei MateBook yang boleh dikategorikan sebagai komputer riba 2 dalam 1. Dari segi perbandingan, Huawei membandingkan MateBook ini sebagai pesaing iPad Pro dan juga Surface Pro.

Huawei MateBook
Skrin 12-inch 2160 x 1440 IPS TFT LCD
Pemproses Intel m3 / m5 / m7 Dual Core Gen-6
Memori 4GB/8GB LPDDR3
Muatan Dalaman 128/256/512 GB SSD
Sistem Operasi  Windows 10 Home / Professional
Kamera Depan 5 Megapixel
Bateri 4430 mAh
Sambungan Kuasa USB-C
Berat 640g
Aksesori MateDock , MatePen

Bermula dengan saiz dan berat, Huawei telah memenangi perbandingan ini berbanding pesaingnya. Ia merupakan yang ternipis berbanding dengan yang lain, iaitu senipis 6.9 mm dan hanya seberat 620g. Dengan kenipisan ini, ia menjadikan tablet ini lebih elegan dan mudah dibawa kemana-mana. Dari segi gaya rekaan, ia hadir dengan bentuk yang mudah dipegang dan tidak mempunyai bucu-bucu yang biasanya wujud pada komputer riba atau pada pesaingnya, Surface Pro. Saiznya pula sedikit besar, dengan menyertakan paparan skrin bersaiz 12-inci dengan resolusi 2K, iaitu 2160 x 1440 pixel. Meskipun ia hadir pada paparan yang sedikit besar, nisbah paparan skrin dengan badan peranti ini lebih tinggi berbanding pesaingnya.

Bagi menandingi pesaingnya, Huawei MateBook menyertakan cip pemprosesan terkini dari Intel. Cip Generasi keenam dari Intel ini menggunakan kuasa yang lebih rendah, sekaligus menawarkan lebih waktu operasi untuk peranti komputer dalam kategori Convertible ini. Ia boleh bertahan sehingga 10 jam pada sekali waktu pengecasan. Terdapat tiga pilihan cip pemprosesan untuk peranti ini, iaitu Intel Core m3, Intel Core m5, dan Intel Core m7 dengan kelajuan maksimum 3.1GHz untuk kesemua cip dwi-teras ini. Bagi melengkapkan keupayaannya, ia hadir dengan pilihan konfigurasi 4GB RAM atau 8GB RAM.

MWC2016 - Huawei MateBook IMG_0057

Salah satu ciri-ciri pada komputer Convertible 2-dalam-1 adalah ia harus mempunyai storan yang lebih besar dari sekadar tablet. Huawei MateBook hadir dengan storan berasaskan SSD dengan tiga pilihan kapasiti storan, iaitu 128GB, 256GB, dan juga 512GB. Sekiranya kapasiti storan tersebut tidak mencukupi, pengguna boleh menggunakan aplikasi khusus untuk peranti ini bagi berhubung dengan peranti telefon pintar yang mempunyai kapasiti storan yang lebih tinggi. Pada bahagian tepi terdapat sensor pengimbas cap jari, yang boleh digunakan bagi menghidupkan peranti ini.

MWC2016 - Huawei MateBook IMG_0112

Bagi menjadi peneraju dalam kategori ini, Huawei MateBook turut menyertakan sambungan USB-C, bagi tujuan pengecasan dan juga untuk tujuan hubungan dengan peranti lain. Bagi anda yang kurang pasti mengenainya, USB merupakan satu protokol membolehkan pelbagai peranti berhubung antara satu sama lain dan USB-C merupakan jenis terkini yang menyokong lebih banyak pemindahan data. Huawei turut menyediakan pengecas dengan kepala penukar dari USB-C menjadi Micro-USB, seperti kabel kuasa peranti yang lain. Menariknya palam sumber kuasa peranti ini juga adalah lebih kecil, tidak seperti palam kuasa komputer riba yang besar dan sukar dibawa kemana-mana.

Dengan spesifikasi dan ciri-ciri yang tidak terkalah dengan pesaingnya, Huawei turut menampilkan tiga aksesori khusus untuk tablet MateBook ini. Salah satu yang menjadi fokus utamanya adalah Huawei MatePen, dimana ia bukan sekadar berfungsi sebagai pena Stylus. Menyedari peranti ini lebih popular dikalangan professional, pada badan MatePen terdapat tiga butang tambahan bagi membantu golongan sasaran ini melakukan pembentangan. Dua butang dapat digunakan untuk mengawal slide PowerPoint, manakala satu butang lagi berfungsi sebagai penunjuk laser yang biasa digunakan oleh pembentang. Menariknya ia turut berupaya mengesan sehingga 2048 perbezaan tekanan. MatePen yang perlu dicas ini juga mempunyai tempoh operasi yang lama, dimana untuk sejam pengecasan pada pena stylus ini, ia mampu beroperasi sehingga sebulan lamanya.

Sekiranya pengguna merasakan penggunaan USB-C tidak mencukupi, Huawei turut menyertakan MateDock, iaitu hab USB-C yang boleh digunakan untuk berhubung dengan pelbagai peranti lain. Walaupun namanya terdapat ‘Dock’, ia bukanlah seperti ‘docking’ yang biasanya terdapat pada laptop professional kelas tertinggi. Huawei MateDock menggunakan sambungan USB-C. Dengan satu sambungan MateDock kepada USB-C yang terdapat pada MateBook, pengguna boleh menggunakan sambungan lain seperti menyambungkannya kepada paparan yang menyokong HDMI atau VGA, menggunakan sambungan kabel LAN, tambahan dua USB 3.0, sekaligus menggandakan apa yang boleh dilakukan oleh peranti ini. Pada masa yang sama MateDock dapat mengecas MateBook, dan sesuai diletakkan dipejabat atau dibawa kemana-mana memandangkan saiznya yang tidak besar, malah elegan untuk dibawa bersama.

MWC2016 - Huawei MateBook IMG_0052Aksesori ketiga yang ditawarkan adalah papan kekuncinya. Papan kekunci Huawei MateBook dijual berasingan, dan turut kalis tumpahan air. Ia berhubung dengan peranti menerusi palam sambungan dibawah peranti, dan turut mempunyai Kickstand bagi meletakkan paparan MateBook pada posisi yang diinginkan. Terdapat dua posisi bagi Kickstand, iaitu 67 darjah untuk posisi yang lebih tegak, atau 52 darjah untuk posisi yang lebih selesa.

Dari segi prestasi, ia menggunakan sistem operasi terkini dari Microsoft, iaitu Windows 10. Terdapat dua pilihan sistem operasi yang boleh dipilih oleh pengguna, sama ada Windows 10 Home atau Windows 10 Professional. Menggunakannya, ia tampak lancar dan responsif, dengan ruang touchpad yang agak besar dan selesa digunakan. Aksesori papan kekunci MateBook pula dihasilkan dari kemasan kulit, dan boleh menutupi keseluruhan peranti ini, sekaligus memberikan perlindungan kepadanya.

Peranti ini akan mula dijual di pasaran antarabangsa bermula Jun dan ditawarkan pada spesifikasi berbeza berdasarkan cip pemprosesan, kapasiti RAM dan juga kapasiti storan SSD. Bagi pasaran tempatan, ia dikatakan Huawei MateBook bakal dijual pada suku tahun ketiga tahun ini. Mungkin harga dan penawaran spesifikasi untuk pasaran tempatan akan berbeza dengan penawaran tahap antarabangsa. Sebagai rujukan, Huawei MateBook akan dijual pada 6 pilihan spesifikasi bermula USD 699 bagi spesifikasi paling asas dengan cip Intel m3, 4GB RAM dan storan 128GB, sehingga model berprestasi tinggi pada harga USD 1599 untuk spesifikasi cip Intel m7, 8GB RAM dan storan 512GB. Bagi aksesori, papan kekunci MateBook yang dijual berasingan akan dijual pada harga USD 129, pena MatePen pada harga USD 59, dan kelengkapan ‘docking’ MateDock pada harga USD 89.


TIPS & ULASAN