Jikalau bercakap mengenai pengumuman peranti pada Mobile World Congress 2016 kali ini, dua jenama yang mencuri perhatian ramai adalah Samsung dan juga LG. Kedua-duanya hadir daripada Korea Selatan, dan sering memperlihatkan pelbagai inovasi baru dalam arena peranti mudah-alih.
LG pada Mobile World Congress telah mengambil peluang untuk memperkenalkan telefon pintar LG G5 mereka, yang mana buat pertama kalinya menawarkan sokongan untuk mengubah modul yang diposisikan pada bahagian bawah, sama ada untuk menambah sokongan audio, ataupun menambah kuasa bateri dengan sokongan kawalan kamera tambahan.
Skrin | 5.3″ IPS LCD Quantum QHD |
Pemproses | Snapdragon 820 |
Memori | 4 GB RAM |
Kamera Utama | 16 + 8 Megapixel |
Kamera Depan | 8 Megapixel |
Bateri | 2800mAh |
Pertama kali memegangnya, kami merasakan ia sangat ringan dan seperti tidak memberikan pengalaman penggunaan peranti premium. Selepas bermain dengannya untuk seketika, kami menjadi biasa dengannya, dan ia dilihat selesa di tangan.
Pada bahagian hadapan peranti, ia mengekalkan rekaan ikonik LG, dan pada bahagian belakang pula ia menawarkan rekaan bonjolan kamera dan juga pengimbas cap jari pada bahagian bawahnya. Kami mendapati rekaan belakangnya sedikit kurang cantik, tetapi ia mungkin berbeza mengikut citarasa pengguna.
Dari segi spesifikasi, LG G5 menggunakan skrin bersaiz 5.3-inci, dijana dengan cip Snapdragon 820, dan menggunakan memori berkapasiti 4GB RAM.
Pengimbas cap jari pada bahagian belakang juga beroperasi sebagai butang Home. Pengguna perlu klik butang berkenaan untuk mengaksesnya – sekiranya tidak mengaktifkan sokongan pengimbas cap jari. Mungkin bagi anda yang tidak biasa dengan peranti LG, akan mengambil seketika untuk perasan akan ketiadaan butang fizikal untuk Home, dan segalanya dikawal menggunakan butang pengimbas cap jari.
Pada bahagian tepi peranti pula, butang kawalan audio disertakan, dan dibawah sebuah ruangan kecil hadir dimana pengguna boleh menekannya dan ia akan membuka bahagian bawah peranti yang berbentuk modul. Ini seterusnya memudahkan anda untuk menanggalkan bateri ataupun sekiranya ingin menggunakan bahagian modul untuk speaker ataupun kawalan kamera.
LG menyertakan sokongan audio-jack pada bahagian atas, selain fungsi IR untuk membolehkan pengguna mengawal beberapa peralatan elektronik – televisyen sebagai contohnya. Pada bahagian bawah pula, LG menyertakan ruangan pengecasan berasaskan kepada USB Type-C.
Untuk pengenalan, dua modul disediakan oleh LG, iaitu LG Cam Plus dan LG HiFi Plus. LG Cam Plus merupakan modul tambahan untuk kawalan kamera, dimana melaluinya ia menawarkan butang rakaman gambar fizikal, bahagian tambahan untuk pengguna memegang peranti dengan kukuh ketika ingin merakamkan gambar, dan juga sokongan untuk zoom dengan senang. Modul LG Cam Plus ini turut menawarkan sokongan bateri tambahan untuk menawarkan masa rakaman gambar dan video yang lebih lama berbanding hanya bergantung kepada bateri yang hadir terbina pada LG G5.
LG HiFi Plus pula menawarkan sokongan kualiti audio yang lebih baik melaluinya. LG membangunkan LG HiFi Plus dengan kerjasama pihak Bang&Olufsenm dan ia menawarkan kualiti audio 32bit serta menikmati audio berkualiti tinggi melaluinya. Modul tambahan ini juga turut menawarkan port untuk audio-jack yang mana membuatkan pengguna perlu memasang ia pada bahagian bawah, berbanding posisi terbina yang hadir pada bahagian atas.
LG mengatakan satu lensanya merakamkan gambar pada keluasan 78-darjah, dan satu lagi menawarkan rakaman meliputi 135-darjah. LG mengatakan penggunaan lensa berubah secara automatik, dan pengguna tidak akan perasan akan perubahannya, dan pada masa yang sama menawarkan rakaman gambar yang cantik dengan data yang lebih banyak pada hasil rakaman.
Melengkapkan bahagian kamera juga adalah pelbagai kesan khas tambahan, termasuk Film Effect, Pop-Out Picture dan juga sokongan kawalan manual untuk mereka yang inginkan lebih kawalan untuk rakaman gambar.
Seperti pada Samsung Galaxy S7, pihak LG turut menyertakan fungsi Always On-Display, yang mana memaparkan informasi sepanjang masa pada skrin walaupun skrin ditutup. Informasi yang dipaparkan adalah tarikh, masa dan notifikasi yang masih belum dibaca.
Pihak LG menyertakan sokongan paparan informasi pintar dinamakan sebagai Smart Bulletin. Ia diposisikan pada bahagian tepi kiri di skrin utama (lokasi dimana ada Google Now untuk peranti Nexus). Melalui halaman Smart Bulletin ini, sejumlah informasi daripada LG G5 dipaparkan, termasuk seperti langkah perjalanan, tugasan, jadual harian, dan sebagainya.
Satu lagi perubahan drastik yang dibawakan oleh LG pada LG G5 adalah ketiadaan talam aplikasi. LG kini memaparkan semua aplikasi mereka pada skrin utama, dan pengguna hanya perlu menatal ke kanan skrin untuk melihat aplikasi-aplikasi lain. Seperti ramai sedia maklum, pelbagai peranti dari China telah mengimplementasikannya, dan LG turut menggunakan kaedah sama pada LG G5. Kami mungkin lebih meminati implementasi Samsung pada Galaxy S7 yang memberikan pilihan untuk pengguna sama ada inginkan talam aplikasi ataupun sebaliknya.
Satu lagi perkara yang kami kurang gemari berkenaan dengan LG di Malaysia adalah pemasarannnya, yang mana sering mengambil masa yang lama untuk menawarkan telefon pintar mereka di Malaysia. Kami berharap pihak LG boleh menawarkan telefon pintar mereka yang terkini ini dengan lebih pantas ke pasaran tempatan, sekaligus membolehkan pengguna tempatan turut menggunakan penawaran terkini LG tanpa perlu mengimportnya daripada negara jiran.