Carian
Rangkuman Hari Pertama MWC 2016
February 23, 2016 Ikhwan Nazri

Untuk bercerita mengenai ringkasan pada hari pertama acara Mobile World Congress, tidak sah sekiranya tidak diceritakan apa yang berlaku pada hari sebelumnya. Telah menjadi satu fenomena dimana jenama-jenama besar mengambil tempat sehari lebih awal dan pada tahun ini, sebanyak empat jenama telah memulakannya pada hari Ahad, 21 Feb 2016.

https://youtu.be/OlZfh2m9Jpg

Huawei yang telah mendapat pelbagai perhatian pihak media apabila melancarkan komputer pertama mereka iaitu Huawei MateBook. Ia bakal memberikan persaingan kepada iPad Pro dan juga Surface Pro, iaitu didalam kategori komputer dua-dalam-satu. Ia turut disertakan dengan aksesori menarik iaitu MatePen yang merupakan pena stylus dengan fokus kepada pengguna professional, bukan sahaja boleh digunakan sebagai alat melukis malah alat pembantu dalam pembentangan projek. Ia turut menyertakan USB-C sebagai sambungan utama, dan bagi menyelesaikan masalah sambungan untuk peranti lain, hadirnya MateDock pelengkap peranti.

ZTE pula telah mengumumkan penajaan terhadap pasukan bola ternama di Eropah bagi menaikkan penguasaan mereka. Bagi pasaran tempatan, mereka dijangka melipatgandakan usaha bagi menarik minat pengguna terhadap jenama mereka. Peranti terbaru yang dilancarkan mereka adalah ZTE Spro Plus, iaitu peranti tablet dengan keupayaan projektor, membolehkan kandungan media dan aplikasi dipancarkan untuk skrin besar.

LG G5

LG pula telah melancarkan LG G5, iaitu telefon flagship yang bakal melestarikan konsep peranti modular. Selain dari spesifikasi tinggi, telefon LG G5 mempunyai komponen modular, dimana ruangan baterinya boleh ditukar ganti dengan peranti lain, seperti peranti audio dan pemegang kamera dengan tambahan kuasa bateri. Mungkin tidak ramai sedar akan teknologi dari LG berbanding pesaingnya yang turut sama dari Korea Selatan, iaitu Samsung.

Samsung telah mengumumkan flagship terkini pada tahun ini, iaitu Galaxy S7 dan Galaxy S7 Edge. Ia menerima sambutan yang baik, kerana menyertakan fungsi kalis air pada peranti ini, selain memberikan semula fungsi penambahan kapasiti storan menerusi slot kad Mikro-SD. Mereka juga turut hadir dengan beberapa perkara lain, termasuklah lensa kamera untuk Galaxy S7, Gelang tangan pintar mampu milik Charm, dan pelbagai lagi.

MWC2016 - Sony Xperia X IMG_0303

Pada hari pertama, terdapat satu pengenalan produk yang diadakan iaitu pengumuman siri X oleh Sony. Sony berhasrat untuk memberikan saingan sengit dalam kategori spesifikasi pertengahan, dan melalui siri X sebanyak tiga peranti telefon pintar diperkenalkan. Peranti tersebut adalah Xperia X Professional, Xperia X, dan juga Xperia XA. Kesemuanya mempunyai paparan skrin HD penuh dan hadir dengan badan unibody yang cantik, serta ketahanan bateri yang boleh bertahan sehingga dua hari, mengikuti tradisi peranti dari Sony.

Sony juga turut mengumumkan tiga peranti konsep yang sesuai untuk masa hadapan. Xperia Eye merupakan kamera interaktif bagi merekodkan segalanya oleh pengguna. Xperia Ear pula merupakan peranti audio dengan kawalan suara membolehkan pengguna berinteraksi dengannya. Xperia Agent pula dilihat lebih kepada solusi rumah pintar anakala Xperia Projector seperti namanya akan memancarkan perkara berkaitan dengan pengguna.

Masih lagi tiga hari berbaki untuk acara Mobile World Congress 2016 jadi teruskan bersama kami untuk mengetahui lebih banyak peranti dan teknologi baru yang diperkenalkan pada acara ini.

Komen