MWC 2016 : Gionee S8 – Peranti Dengan Sokongan 3D Touch Dan Dwi WhatsApp

MWC 2016 : Gionee S8 – Peranti Dengan Sokongan 3D Touch Dan Dwi WhatsApp

Diterbitkan pada Feb 24, 2016 oleh .

Gionee merupakan salah satu jenama daripada China, yang mana masih belum memasuki pasaran Malaysia secara rasminya buat masa ini. Mereka telah mula mencuri perhatian media sejak daripada tahun lepas, dan pada tahun ini, mereka telah memperkenalkan telefon pintar baru bersempena dengan MWC, iaitu Gionee S8.

Gionee S8


Rekaan, Spesifikasi Dan Kamera

Gionee S8
Skrin 5.5″ FHD AMOLED
Pemproses MT6755 (1.9Ghz + 1.1GHz)
Memori 4 GB RAM
Storan 64GB
Kamera Utama 16 Megapixel
Kamera Depan 8 Megapixel
Bateri 3000mAh

Gionee S8 menggunakan rekaan berasaskan kepada logam sepenuhnya, dan seperti kebanyakkan peranti di pasaran hari ini, bahagian belakangnya tidak boleh ditanggalkan. Dari segi spesifikasi, Gionee S8 menggunakan skrin AMOLED bersaiz 5.5-inci dengan paparan HD penuh, dijana menggunakan cip MediaTek MT6755, memori 4GB RAM, dan ruangan storan 64GB. Pada bahagian hadapan juga, pihak Gionee menyertakan sokongan pengimbas cap jari pada butang Home untuk menawarkan sokongan sekuriti tambahan pada peranti berkenaan.

Dengan penawaran spesifikasi yang baik, pihak Gionee turut melengkapkannya dengan sokongan kamera belakang 16-megapixel dan kamera hadapan 8-megapixel. Kamera belakangnya turut menyertakan sokongan autofokus berasaskan kepada laser, selain kebolehan memfokuskan gambar dengan pantas melalui penggunaan teknologi PDAF.

Dari segi perisian, Gionee turut menyertakan fungsi pencantikkan wajah secara maya – dimana ia bukan disokong pada peringkat gambar, tetapi juga pada video.


Menggunakan Android 6.0 Dengan Sokongan 3D Touch

Pihak Gionee menggunakan sistem operasi Android 6.0 pada Gionee S8 ini, tetapi ia hadir dengan antaramuka mereka tersendiri yang mengubah pelbagai perkara. Ia tidak menyertakan talam aplikasi seperti kebanyakkan pengeluar China yang lain – dan semua aplikasi disusun pada skrin utama bersama-sama widget.

Salah satu perkara yang mencuri perhatian pada Gionee S8 ini adalah sokongan 3D Touch yang membolehkan pengguna menekan skrin untuk mengakses menu pantas untuk beberapa aplikasi terbina. Secara kasar, ia menawarkan fungsi yang lebih kurang sama seperti pada telefon pintar iPhone 6S. Pengguna juga turut boleh menekan pada gambar Live Wallpaper, dan ia akan bergerak.

Gionee S8

Fungsi 3D Touch pada Gionee S8 ini juga turut diimplementasikan pada bahagian tepi skrin, dimana pengguna boleh tap untuk seketika pada bahagian tepi, dan ia akan membuka sebuah menu khusus dan mengakses aplikasi yang telah disediakan dengan lebih pantas.

Gionee S8

Kami menghadapi masalah beberapa kali ketika mencubanya, terutamanya memandangkan apabila kadang-kala menekan ikon sesuatu aplikasi pada Android membuka menu untuk nyah-pasangnya. Ia tidak diketahui bagaimanakah pihak Gionee akan mempopularkan penggunaannya. Sebelum ini, Huawei melakukan perkara sama pada Mate S mereka, tetapi tidak memasarkannya secara meluas memandangkan tidak banyak aplikasi yang menyokongnya selain daripada aplikasi yang hadir terbina pada peranti berkenaan.

Melalui fungsi 3D Touch ini juga, pihak Gionee menyertakan sokongan untuk klon aplikasi Android dan WeChat. Pengguna boleh menekan pada ikon WhatsApp atau WeChat, dan seterusnya membuat klon aplikasi berkenaan yang berfungsi secara bebas daripada yang asal. Ini sekaligus membolehkan anda menggunakan dua akaun WhatsApp pada peranti sama – apatah lagi memandangkan telefon pintar ini sedia menyokong dwi-SIM.

Gionee S8


Secara kasarnya, ia boleh dikatakan pihak Gionee mencuba untuk memberikan nilai tambah kepada pengguna mereka melalui sokongan 3D Touch dan juga kebolehan menggunakan dua akaun WhatsApp. Disamping itu, penggunaan spesifikasi yang baik pada peranti ini juga mungkin membuatkan pengguna memilihnya. Sementara sokongan 3D Touch boleh dikatakan mungkin masih tidak begitu popular pada hari ini, mungkin peranti ini akan menjadi pilihan pengguna sementara pihak WhatsApp tidak memperkenalkan sokongan multi-akaun.


TIPS & ULASAN