Acer dan Victorinox hari ini telah bekerjasama untuk hadir dengan sebuah gelang yang boleh dipasang pada sebarang jam tangan INOX, sekaligus memberikan beberapa fungsi pintar melaluinya. Aksesori tambahan ini dinamakan sebagai Cybertool.
Victorinox Swiss Army INOX Cybertool ini dibangunkan dengan kerjasama pihak Acer, dimana ia boleh digunakan untuk memantau aktiviti seperti langkah perjalanan, sekaligus mengira beberapa perkara seperti jarak perjalanan, kalori yang dibakar dan sebagainya. Sebuah aplikasi khusus turut digunakan untuk menghubungkan Cybertool ini dan memantau data yang berkaitan.
Victorinox Swiss Army INOX Cybertool ini hadir dengan rekaan bulat, dan dikatakan boleh digunakan pada pelbagai jam tangan INOX – sekaligus membawakan fungsi pintar kepadanya. Cybertool ini juga turut dilengkapi dengan sokongan kalis air, dan menawarkan pengecas khusus untuknya. Cybertool boleh digunakan sehingga lima hari lamanya dengan sekali pengecasan penuh.
Daripada percubaan kami, boleh dikatakan kaedah yang cuba dilakukan untuk menawarkan ciri pintar pada jam tangan biasa adalah agak baik. Tetapi, kami melihatnya ia agak besar untuk tangan pengguna Asia, dan ketebalannya adalah sangat ketara. Namun, ia masih mempunyai kelebihannya, sebagai contoh pengguna masih boleh kekal mengetahui waktu apabila modul berkenaan kehabisan bateri.