MWC 2016 : Alcatel Plus 10 – Komputer 2-Dalam-1 Berasaskan Windows 10

MWC 2016 : Alcatel Plus 10 – Komputer 2-Dalam-1 Berasaskan Windows 10

Diterbitkan pada Feb 24, 2016 oleh .

Sejak daripada tahun lepas, pelbagai pengeluar telah aktif hadir dengan peranti 2-dalam-1 yang membolehkan peranti berkenaan beroperasi sebagai sebuah tablet, ataupun sebagai sebuah komputer riba. Hal ini mungkin kerana penawaran dan pengoptimasian Windows 10 yang lebih baik berbanding versi sebelumnya.

Selain daripada hanya pengeluar peranti perkomputeran popular, beberapa pengeluar telefon pintar turut mengambil peluang ini untuk hadir dengan komputer 2-dalam-1 mereka.

Huawei telah sedia memperkenalkan Huawei Matebook. Selain Huawei, kini Alcatel turut sama kini hadir dengan sebuah komputer hibrid mereka, dinamakan sebagai Alcatel Plus 10.

Alcatel Plus 10

Alcatel Plus 10

Alcatel Plus 10 membawakan skrin bersaiz 10-inci, dan dijana menggunakan cip pemprosesan Intel Atom Z8350. Seperti ramai sedia maklum, penawaran cip Intel Atom adalah hanya sekadar untuk fungsi asas sahaja, malah boleh membuka dan mengakses aplikasi dengan terhad pada sesuatu masa supaya tidak memberikan kesan dan pengalaman terhadap penggunaan anda.

Alcatel Plus 10
Skrin 10.1-inci
Pemproses Intel Atom Z8350
Memori 2 GB RAM
Storan 32GB
Rangkaian LTE

Melengkapkan peranti berskrin 10.1-inci ini adalah memori 2GB RAM dan juga ruangan storan 32GB. Daripada penggunaan dan percubaan kasar kami untuk Alcatel Plus 10, ia dilihat berfungsi dengan lancar, walaupun kadang-kala mengambil sedikit masa untuk membuka aplikasi.

Apa pun, salah satu perkara yang menarik mengenai komputer 2-dalam-1 ini adalah sokongan rangkaian telekomunikasi (3G/4G). Ruangan kad-SIM hadir pada bahagian papan kekunci. Papan kekunci ini juga menyertakan sokongan bateri tambahan untuk menawarkan masa penggunaan yang lebih lama.

Papan kekunci yang ditawarkan tidak memegang tablet berkenaan dengan kukuh, dan lebih kepada hanya sekadar meletakkan ia pada ruangan yang disediakan. Beberapa pengeluar menggunakan rekaan sebegini, yang mana bagi kami mungkin tidak begitu selesa sekiranya anda ingin membuat tugasan di atas riba (seperti ketika sedang berada dalam bas atau keretapi).

Alcatel Plus 10

Alcatel Plus 10

Secara keseluruhan, daripada percubaan ringkas kami, Alcatel Plus 10 ini boleh dikatakan salah satu tablet yang mungkin akan menjadi pilihan kepada anak-anak kecil, atau mereka yang inginkan lebih kepada tablet berbanding dengan menggunakannya sebagai komputer riba memandangkan saiz skrinnya yang hanya 10.1-inci.

Alcatel dijangka memasarkan peranti ini di beberapa pasaran untuk peringkat permulaan. Daripada pengumuman pihak Alcatel, nama Malaysia masih tiada dalam penawaran peranti ini. Tetapi terdapat kemungkinan perkara berkenaan berubah pada masa akan datang.


TIPS & ULASAN