Bateri ion lithium menjadi sumber kuasa pilihan untuk majoriti peranti yang kita gunakan sekarang. Ia murah dihasilkan dan boleh dicas berkali-kali sebelum perlu diganti. Sungguhpun begitu bateri ini mempunyai satu kelemahan besar di mana ia mudah terbakar sekiranya menerima hentakan kuat atau berlaku kebocoran pada tubuh bateri. Beberapa insiden kebakaran secara tiba-tiba melibatkan papan apung dan bateri vape membuatkan pihak berkuasa menyedari bahaya yang menyelinap di dalam bateri Li-ion.
Bulan Januari lalu International Civilian Aviation Organisation (ICAO) menyarankan pengharaman bateri ini dari dibawa di dalam ruangan kargo pesawat. Hari ini secara sah ia akan diharamkan dari dibawa di dalam ruangan kargo bermula April ini. Arahan ini akan dipatuhi oleh kesemua syarikat penerbangan negara ahli ICAO seperti Malaysia. Pengharaman ini dijangka berkekalan sehingga 2018 kerana ICAO sedang menghasilkan ruangan kargo kalis api dan mampu memadamkan kebakaran sekiranya ia berlaku. Sebanyak 30% penghantaran bateri Li-ion dunia dilakukan menerusi laluan udara tahun lalu dan pengharaman ini pastinya mendatangkan impak ke atas industri. Tetapi seperti biasa adalah lebih baik mencegah sebelum parah.