Cari @ Amanz

Virus Zika yang menyebabkan berlakunya kecacatan microcephaly pada bayi masih belum mampu dibendung. Malaysia masih bernasib baik kerana sehingga kini tiada kes Zika dilaporkan sedangkan Indonesia dan Thailand sudah mencatatkan beberapa kes. Di Brazil tindakan drastik dilakukan pihak berwajib bagi menentang virus ini dan mereka terpaksa menentang menggunakan radiasi sinar gamma. Sinar gamma dari isotop Cobalt-60 digunakan bagi memandulkan nyamuk jantan di dalam makmal. Nyamuk mandul ini kemudian akan dilepaskan dan akan mengawan dengan nyamuk betina menghasilkan telur yang tidak bernyawa.

Virus-Zika-microcephaly

Di dalam ujian makmal, teknik ini mampu menghasilkan 70% telur tidak bernyawa dan ini sekaligus akan mengurangkan populasi nyamuk yang menjadi vektor utama virus Zika. Sebanyak 12 Juta nyamuk jantan mandul akan dilepaskan setiap minggu bagi menghalang nyamuk betina dari membiak. Tindakan drastik ini diambil kerana sukan Olimpik bakal bermula Ogos ini. Negara peserta menunjukkan kebimbangan tentang keselamatan atlet yang menghadiri temasya sukan setiap empat tahun sekali ini. Penggunaan radiasi bagi mengawal populasi serangga perosak ini bukanlah idea baru. Ianya sudah digunakan di Portugal untuk mengawal populasi lalat buah yang merosakkan tanaman di Pulau Madeira. Sedang Brazil cuba menentang Zika, di Malaysia kerajaan kita sedang menentang wabak denggi yang telah menjangkiti 10482 individu dan mengakibatkan 23 kematian sepanjang 2015. Menarik melihat lebih ramai rakyat takut dengan Zika berbanding denggi sedangkan ia tidak mendatangkan maut. Oleh itu pastikan rumah anda tidak menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes. Sekiranya tidak mungkin teknik radiasi ini akan digunakan di Malaysia dan ia melibatkan kos yang tinggi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd