Carian
i-Dummy – Patung Manekin Pintar Memudahkan Rekaan Pakaian Pelbagai Bentuk Badan Manusia
February 24, 2016 Effi Saharudin

Dunia fesyen sering dituduh prejudis terhadap individu yang tidak berbadan ideal. Pakaian lelaki direka untuk mereka yang berbadan sasa seperti Aaron Aziz manakala pakaian wanita pula direka untuk wanita anoreksia nervosa seperti si kembar Olsen. Pengiklanan pakaian jenama-jenama popular juga memaparkan model dengan imej tubuh yang dikatakan tidak sihat. Realitinya ialah kebanyakan manusia sekarang tidak mempunyai tubuh seakan dewa-dewi Yunani yang diukir di Parthenon. Antara sebab mengapa baju-baju yang direka tidak sesuai dipakai oleh golongan “kurang sempurna” ini ialah kerana patung manekin yang digunakan sekarang hanya mempunyai satu saiz sahaja.

i-Dummy-1

Adalah sukar bagi pereka fesyen untuk menghasilkan pakaian untuk pelbagai saiz tubuh manusia yang berbeza-beza. i-Dummy ialah patung manekin pintar yang direka oleh Dr. Allan Chan seorang tenaga pengajar di  Hong Kong Polytechnic University Institute of Textiles and Clothing. Beliau menyedari masalah yang dihadapi pelajar kolej ini dalam mereka pakaian. Manekin pintar ini mempunyai panel boleh ubah yang boleh menghasilkan pelbagai bentuk tubuh manusia. Beliau mengumpulkan pelbagai data tentang saiz tubuh manusia dan memprogramkannya ke dalam i-Dummy. Melalui komputer riba pengguna boleh memilih saiz baju apa yang ingin dihasilkan dan manekin pintar ini akan berubah dalam masa 8 saat.

Dengan memasukkan ukuran tubuh yang tepat mereka yang menempah pakaian, baju yang dijahit akan dijamin boleh dipakai oleh pelanggan tanpa sebarang kerisauan. Kelebihan lain i-Dummy ialah hanya satu patung perlu dibeli pereka pakaian ataupun jurujahit dan sekaligus menjimatkan ruang lantai di dalam kedai yang kecil di Hong Kong. Ukuran tubuh pelanggan yang disimpan secara digital juga boleh dihantar kepada jurujahit lain yang memiliki i-Dummy. Sebuah rekaan yang menarik dan bijak. Masalah baju yang ditempah tersalah jahit apabila hampir musim perayaan pastinya akan berjaya diselesaikan.

Komen