MWC 2016 : Xiaomi Mi 5 – Spesifikasi Tinggi, Rekaan Menarik, Berharga Rendah

MWC 2016 : Xiaomi Mi 5 – Spesifikasi Tinggi, Rekaan Menarik, Berharga Rendah

Diterbitkan pada Feb 24, 2016 oleh .

Pada hari ketiga acara Mobile World Congress hari ini, Xiaomi telah mencuri perhatian media antarabangsa, dengan membuat kemunculan buat pertama kalinya di Eropah, dan mengumumkan produk Xiaomi Mi 5 mereka. Walaupun diumumkan di MWC, namun, peranti berkenaan kelak akan memasuki pasaran China dan India terlebih dahulu, sebelum ditawarkan untuk pengguna di negara-negara lain yang mempunyai kehadiran Xiaomi.

Xiaomi Mi 5


Rekaan Dan Spesifikasi

Xiaomi Mi 5 merupakan telefon pintar flagship terkini daripada mereka, dan hadir setelah melangkaui tempoh lebih setahun sejak Xiaomi Mi 4 diperkenalkan. Dari segi rekaan, Xiaomi Mi 5 membawakan elemen rekaan seumpama daripada keluarga Mi Note sebelum ini, tetapi rekaannya kini tampak lebih menarik untuk dipegang pada tangan. Mungkin skrinnya yang bersaiz 5.2-inci menyumbang kepada perkara ini, selain rekaan tepi kerangka belakang yang lebih melengkung berbanding dengan Mi Note sebelum ini.

Xiaomi Mi 5

Xiaomi telah memasarkan peranti mereka dengan teaser mengatakan peranti mereka sebagai “Laju”. Ini dijayakan dengan penggunaan memori sehingga 4GB RAM, Snapdragon 820, dan juga ruangan storan berasaskan kepada UFS 2.0.

Xiaomi mi 5
Skrin 5.2-inci
Pemproses Snapdragon 820
Memori/Storan 3GB RAM / 32GB
4GB RAM / 128GB
Kamera Belakang 16MP PDAF OIS
Kamera Hadapan 4-megapixel
Rangkaian Dwi-SIM LTE
Sistem MIUI7 / Android 6.0
Bateri 3000mAh

Bercakap mengenai rekaan, ini adalah pertama kali pihak Xiaomi menyertakan butang fizikal untuk Home pada peranti mereka. Butang Home pada Xiaomi Mi 5 turut disertakan dengan sokongan pengimbas cap jari. Seperti biasa, pengguna perlu membuat tetapan cap jari mereka untuk log masuk, dan daripada percubaan kasar, ia dilihat dapat log masuk ke peranti dengan serta-merta tanpa sebarang lengah masa.

Satu lagi perubahan yang dilakukan oleh Xiaomi berbanding dengan flagship mereka tahun lepas adalah penggunaan port pengecasan berasaskan USB Type-C pada telefon pintar mereka. Xiaomi sebelum ini telah hadir dengan telefon berasaskan USB Type-C, dan mungkin selepas ini, kita akan melihat Xiaomi mula menggunakannya secara meluas pada semua produk mereka.

Xiaomi Mi 5 membawakan rekaan unibody, bermakna pengguna tidak boleh membuka ruangan belakang untuk mengakses bateri. Ruangan kad-SIM diposisikan pada bahagian kiri peranti, membolehkan anda menggunakan dua SIM pada saiz nano. Kedua-dua ruangan SIM juga menyokong rangkaain 4G. Peranti Xiaomi sebelum-sebelum ini tidak menyertakan sokongan mikro-SD, dan perkara sama dikekalkan pada Xiaomi Mi 5.

Pada bahagian kanan peranti, butang kawalan audio disertakan, dan pada bahagian atas peranti pula, selain daripada sokongan audio-jack, pihak Xiaomi turut menyertakan fungsi infra-merah untuk memudahkan pengguna mengawal peralatan elektronik seperti televisyen, penghawa dingin dan sebagainya.

Xiaomi Mi 5 juga turut mengembalikan sokongan NFC padanya – dimana buat masa ini, bukan sekadar untuk membaca sahaja, malah ia turut boleh menulis pada kad NFC. Daripada demo yang dipertontonkan, Xiaomi memperlihatkan pengguna boleh menambah-nilai untuk kad prabayar (seperti Touch=n-Go) menggunakan telefon pintar mereka, dan seterusnya memindahkan data berkenaan kepada kad fizikal berkenaan. Seperti biasa, fungsi ini hanya dipertontonkan sahaja, dan tidak diketahui akan diimplementasikan secara meluas ataupun tidak. Jikalau ya pun, mungkin hanya di China sahaja, dan bukannya di Malaysia untuk tempoh terdekat ini.

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5


Kamera

Dengan kebanyakkan telefon pintar menawarkan fungsi yang lebih kurang sama pada hari ini, penyertaan kamera yang berkualiti telah menjadi salah satu fokus ramai pengeluar di seluruh dunia. Xiaomi tidak melupakannya dengan Mi 5. Pada Xiaomi Mi 5, mereka menyertakan kamera belakang 16-megapixel yang hadir dengan sokongan penstabilan imej optikal (OIS). Xiaomi Mi 5 menyertakan sokongan penstabilan imej optikal pada 4-arah – berbanding kebanyakkan peranti yang hanya 2-arah sahaja. Ini membolehkan video yang dirakamkan lebih stabil. Jikalau diberikan perhatian pada lensa belakang, ia boleh dikatakan sedikit bergerak atau bergoyang ketika pengguna menggerakkan peranti.

Melengkapkan sokongan OIS ini adalah fungsi PDAF yang membolehkan sesuatu gambar di fokuskan dengan pantas berbanding penggunaan autofokus biasa.

Untuk kamera hadapan, Xiaomi menggunakan teknologi seumpama HTC Ultrapixel untuk menawarkan sokongan rakaman gambar hadapan yang jelas pada pelbagai keadaan cahaya. Seperti biasa, fungsi Beautify disertakan untuk menawarkan gambar wajah yang cantik secara maya.

Xiaomi Mi 5


Tiada Fungsi Baru

Xiaomi melalui Mi 5 telah memperkenalkan rekaan yang sangat cantik dengan paparan skrin yang sangat terang dan jelas. Xiaomi Mi 5 juga turut menjadi peranti terawal daripada Xiaomi yang dijana menggunakan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow, dan seperti biasa dilengkapi dengan antaramuka MIUI.

MIUI 7 sedia menyertakan beberapa fungsi menarik sebelum ini, dan Xiaomi Mi 5 mengekalkan ciri-ciri berkenaan. Skrin Xiaomi Mi 5 juga turut menyokong teknologi Sunlight Display untuk paparan yang selari pada cahaya yang terang. Fungsi seperti Reading Mode turut disertakan untuk memudahkan pembacaan.

Xiaomi Mi 5

Ketika pengumuman Xiaomi Mi 5, tiada sebarang fungsi baru yang diumumkan pada peranti ini, dan ia lebih dilihat kepada kemaskini hanya dari segi spesifikasi dan rekaan yang mesra pengguna. Namun, Xiaomi mengambil seketika untuk mengumumkan aplikasi panggilan video mereka yang turut ditawarkan pada Android dan iOS. Tetapi, sebagai fungsi tambahan khusus untuk Xiaomi Mi 5, aplikasi yang dinamakan sebagai Mi Video Call ini membolehkan kawalan secara Remote – dimana anda boleh membantu mengawal peranti pengguna Mi lain ketika panggilan video. Sebagai contoh, sekiranya adik anda menghadapi masalah pada peranti, mereka hanya perlu membuat panggilan video menggunakan aplikasi berkenaan, dan memberikan akses untuk kawalan secara remote.

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5


Xiaomi Mi 5 Pro

Seperti pengenalan Mi Note sebelum ini, pengumuman Xiaomi Mi 5 turut hadir dengan pengenalan Mi 5 Pro. Seperti biasa, ia menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding versi biasa. Versi biasa menawarkan rekaan kaca belakang 3D, memori 3GB RAM, dan storan bermula 32GB. Sementara versi Mi 5 Pro pula hadir dengan rekaan kaca ceramic, memori 4GB RAM dan storan 128GB.

Pihak Xiaomi sebelum ini sendiri tidak memasarkan versi Mi Note Pro di Malaysia, dan ia tidak diketahui sama ada mereka akan menawarkan Mi 5 Pro ataupun tidak. Kebiasaannya ia bergantung kepada kuantiti stok yang dimiliki mereka – dan tidak pasti sama ada pengeluaran Xiaomi Mi 5 akan lebih memfokuskan versi biasa atau versi Pro.


Kesimpulan

Xiaomi Mi 5 seperti setiap kali, mencuri perhatian ramai dengan penawaran spesifikasi yang tinggi dan juga rekaan yang sangat selesa pada tangan. Ketiadaan fungsi baru pada Mi 5 mungkin tidak dipedulikan ramai, memandangkan kebolehan memuat-turun pelbagai aplikasi yang tersedia pada Google Play Store.

Namun, salah satu perkara yang semestinya mengecewakan ramai adalah tempoh masa yang sering diambil pihak Xiaomi untuk mengumumkan peranti baru mereka untuk pasaran tempatan. Tiada sebarang tarikh diberikan buat masa ini, dan sudah pasti ia akan mengambil masa berbulan-bulan, dan mungkin kita akan melihat pengeluar lain mula menjual peranti mereka di pasaran tempatan dengan lebih pantas.

Xiaomi mungkin akan memperkenalkan Redmi Note 3 dalam masa terdekat untuk pasaran tempatan – dan untuk Xiaomi Mi 5, mungkin kita perlu nantikan untuk tempoh masa yang lebih lama. Sama-sama kita berharap agar tidak menantikannya seperti Mi 4 sebelum ini – yang mengambil masa lebih kurang 10 bulan.

Xiaomi Mi 5 akan mula di jual di China pada 1 Mac 2016 ini, dimana versi asas (3GB RAM dengan 32GB storan) pada harga RMB 1999 (~RM1300), 3GB RAM dengan 64GB storan pada harga RMB 2299 (~RM1490), dan versi Xiaomi Mi 5 Pro dengan 4GB RAM dan 128GB storan pada harga RMB2699 (~RM1745).

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5

Xiaomi Mi 5


TIPS & ULASAN