Apabila Xperia X Performance dilancarkan beberapa hari yang lalu ramai yang tertanya-tanya mengapa ianya menurut Sony bukan sebuah peranti utama. Ini adalah aneh kerana dari segi spesifikasi ianya jauh lebih baik berbanding Xperia Z5 dan setanding dengan peranti utama pengeluar lain. Mengapa tidak dinamakan sahaja X Performance sebagi Z6. Misteri ini akhirnya terjawab apabila Jun Makino, pengurus pemasaran produk Sony mengesahkan keluarga Xperia Z tidak akan diteruskan. Xperia X akan memegang panji-panji peranti utama Sony mulai sekarang.
Penggunaan peranti “X” sebagai peranti utama Sony mungkin disebabkan stigma buruk Xperia Z5 dan Z4+ yang boleh dianggap sebagai gagal. Dari segi sejarah pula Xperia X1 ialah peranti pertama yang dihasilkan oleh Sony semasa mereka masih menggunakan nama Sony Ericsson. Peranti yang dikeluarkan pada tahun 2008 ini menggunakan sistem operasi Windows Mobile 6.1. Siri Xperia X dihentikan dengan X8 pada tahun 2010. Bagi membina semula jenama peranti pintar mereka, nampaknya Sony kembali kepada asal usul mereka. Mungkin dengan permulaan baru ini Sony dapat mengembalikan zaman kegemilangan mereka.