Cari @ Amanz

ZTE antara salah satu jenama yang telah mengambil pentas utama pada sebelum berlangsungnya acara Mobile World Congress. Pada hari Ahad yang lalu, selain dari mengumumkan penajaan mereka keatas kelab bola Eropah Sevilla, mereka turut melancarkan produk terbaru mereka iaitu ZTE Spro Plus.

Didalam banyak peranti pintar yang ditawarkan oleh ZTE, siri Spro merupakan siri dari ZTE yang membawakan lampu projektor mudah-alih. Untuk tahun ini, mereka telah membawakan Spro Plus, iaitu kemaskini kepada Spro 2. Jika Spro 2 kelihatan lebih kearah telefon pintar, Spro Plus tergolong dalam kategori tablet, dengan lampu projektor.

ZTE Spro Plus
Skrin 8.4-inci
Pemproses Snapdragon 820 / 625
Memori 3GB RAM
Storan 32GB
Lampu Projektor 500 lumen
Rangkaian WiFi / LTE
Sistem Android 6.0
Bateri 12,100 mAH

Apa yang membuatkan tablet Spro Plus ini menarik adalah lampu projektornya disertakan dengan lampu 500 lumen, dan sangat cerah membolehkan pengguna menjadikan sebarang permukaan sebagai layar untuk projektor ini. Sebagai projektor, ia turut mempunyai sambungan dengan kabel HDMI serta mempunyai USB untuk membolehkan pengguna memainkan sebarang fail media dari pemacu USB. Jika diletakkan dari jarak 2.4 meter, imej boleh dipancarkan sebesar 80-inci.

Dari segi spesifikasi, tablet Spro Plus ini juga hadir dengan kemasan yang cantik dan elegan. Paparan skrinnya bersaiz 8.4-inci dengan resolusi 2K. Melihat pada paparannya, ia agak cantik dengan paparan AMOLED. Antara spesifikasi lain termasuklah ia bakal hadir dengan dua variasi cip pemprosesan, iaitu Snapdragon 801 atau 625, 3GB RAM, dan kapasiti storan 32GB yang boleh ditambah. Bagi membolehkan pengguna membawanya untuk satu tempoh yang panjang, ia juga mempunyai kapasiti bateri sebesar 12,100 mAh.

Tablet ini juga akan hadir pada dua variasi capaian, iaitu capaian WiFi dan juga capaian yang menggunakan LTE. Pihak ZTE turut menyatakan yang tablet ini akan hadir dengan sistem operasi Android Marshmallow. Sewaktu percubaan di sini, ia menyertakan Android KitKat, mungkin kerana ia masih sebuah unit yang digunakan untuk pameran.

Pihak ZTE turut menyatakan tablet ini juga dicipta untuk menjadi peranti yang memudahkan urusan pertemuan secara langsung (teleconferencing) justeru ia dicipta dengan pembesar suara JBL dan mempunyai mikrofon yang berupaya mengesan suara dalam lingkungan 5 meter. Jadi sebarang perbualan didalam bilik perjumpaan akan mudah dirakamkan. Akan tetapi peranti ini tidak mempunyai kamera, jadi pengguna perlu membeli kamera USB yang khusus dicipta untuk kegunaan pertemuan secara langsung.

Buat masa ini tiada sebarang harga diumumkan untuk peranti ini dan pihak ZTE Malaysia menerusi perkongsiannya dengan kami menyatakan peranti ini masih dalam perancangan untuk membawakannya ke pasaran tempatan.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd