Di acara Mobile World Congress, selain dari pengumuman peranti baru dan teknologi terkini, terdapat startup dari seluruh dunia menyertai acara ini bagi menunjukkan produk dan kajian mereka. Korea Selatan seperti tahun lepas mempunyai reruainya yang tersendiri bagi menyokong startup mereka mempromosi teknologi ke persada antarabangsa. Jika tahun lepas kami telah menemui mainan kertas robotik Kamikami, tahun ini salah satu produk yang menarik adalah pita pengukur pintar ciptaan Bagel Labs.
Pita pengukur terdapat dalam pelbagai variasi. Ia juga mengikut kegunaan penggunanya. Pita pengukur untuk tukang jahit adalah berbeza dengan pita pengukur yang digunakan oleh tukang kayu. Bagel mencipta pita pengukur pintar ini bagi memudahkan sesiapa sahaja yang selalu memerlukan ukuran melaksanakan tugas tersebut.
Pada badan peranti ini, terdapat butang mod ukuran, hujung pita pengukur untuk mod ukuran menggunakan pita pengukur, sensor inframerah bagi pengukuran secara laser, dan tayar yang boleh mengukur mengikut golekan. Pengukuran dilakukan dengan tiga pilihan mod pengukuran. Mod ‘Tape’ membolehkan pengukuran dilakukan menggunakan pita pengukur, mod ‘Wheel’ membolehkan ukuran disukat mengikut jumlah jarak golekan oleh tayar pada badan bawah peranti ini, dan mod ‘Laser’ membolehkan pengukuran dari jarak peranti kepada objek legap diukur mengikut cahaya inframerah.
Sesudah pengukuran dilakukan, panel LED yang menunjukkan ukuran akan berkelip, menandakan pengukuran tersebut telah direkodkan. Pengguna juga boleh menandakan ukuran tersebut menerusi rakaman suara. Ukuran yang telah dilakukan akan dihantar kepada aplikasi pintar, dan memudahkan pengguna melihat semula kesemua ukuran tersebut. Dengan aplikasi tersebut, pengguna tidak perlu risau akan kehilangan data ukuran, dan peranti ini semestinya memenuhi kehendak pengguna yang kerap mengukur sesuatu.
Pita pengukur pintar dari Bagel Labs ini masih sedang dalam proses prototaip, dimana didalam video dan gambar diatas ia hadir pada warna putih dengan rekaan yang lebih mesra kepada semua pengguna. Rekaan yang dijangka akan hadir ke pasaran pada bulan Jun menerusi halaman Kickstarter pula dilihat lebih menyerupai pita pengukur yang kerap digunakan oleh tukang kayu. Apa pendapat anda? Adakah anda akan memilih model berwarna putih atau model berwarna hitam ?