Carian
MWC 2016 : Wiko U Feel – Dengan Pengimbas Cap Jari
February 25, 2016 Ikhwan Nazri

Wiko merupakan satu jenama yang baru sahaja bertapak di Malaysia beberapa minggu yang lalu. Namun tidak ramai yang tahu jenama ini sebenarnya sudah 5 tahun bertapak dengan fokus pemasaran produk mereka di Eropah, dan pasaran negara membangun. Di Mobile World Congress mereka telah membawakan beberapa produk terkini dan salah satunya adalah Wiko U Feel yang membawakan pengimbas cap jari yang lain dari yang lain.

Wiko U Feel
Skrin 5 Inci
Pemproses Tiada Maklumat
Memori 3GB RAM
Storan 16GB / Kad Mikro-SD
Ciri-ciri Pengimbas Cap-jari
Rangkaian WiFi / LTE
Sistem Android 6.0 (Unit demo – Android Lollipop)

Dari segi rekaan dan spesifikasi, Wiko U Feel mempunyai kerangka badan yang boleh bercahaya pada waktu kelam, sama seperti Wiko Fever. Dari segi spesifikasi, Wiko U Feel membawakan spesifikasi yang lebih baik dari Wiko Fever. Tiada maklumat mengenai cip pemprosesan telefon pintar ini tetapi berkenaan spesifikasi RAM, ia dilengkapi dengan 3GB RAM. Kapasiti storan telefon ini pula sebesar 16GB, dan boleh ditambah menerusi slot kad Mikro-SD.

Dari segi kemasan, telefon yang boleh ditanggalkan permukaan belakangnya mempunyai kemasan baldu, mencerminkan gaya yang terdapat pada telefon ini. Kamera utamanya mempunyai sensor pengimejan sebesar 13 MP dan kamera hadapan dengan sensor pengimejan sebesar 5MP dengan lampu LED Flash. Telefon ini akan beroperasi menggunakan Android Marshmallow namun sewaktu ujian, peranti di ruang pameran ini beroperasi menggunakan Android Lollipop.

MWC2016 - Wiko UFeel IMG_0077

Wiko yang bersandarkan kepada slogan mereka ‘Game Changer’ telah membawakan satu kelainan pada pengimbas cap jari pada Wiko U Feel. Tidak dinafikan penggunaan pengimbas cap jari kini semakin popular pada banyak peranti. Bagi membezakan Wiko dengan jenama lain, pengimbas cap jari mereka berupaya membezakan sekiranya anda sedang menggunakan cap jari tertentu untuk melancarkan aplikasi atau kemudahan tertentu. Seperti contoh, sekiranya pengguna sedang mengimbas menggunakan jari telunjuk, fungsi kamera boleh dilancarkan manakala jika mengimbas menggunakan ibu jari, ia mungin menghidupkan lampu suluh.

Pengguna bebas menetapkan apakah yang akan berlaku apabila jari tertentu diimbas, sekaligus memberikan kelainan pada fungsi ini. Bagi memanfaatkan penggunaan pengimbas cap jari, Wiko turut menyertakan fungsi Encrypt Box. Fungsi ini bertujuan untuk menambah keselamatan pengguna dengan mencegah pengguna yang tidak mempunyai kebenaran dapat mengakses fail-fail yang sulit. Apapun semasa mencuba peranti ini, kami tidak dapat mencuba fungsi ini sendiri justeru tidak diketahui kepantasan pengimbas cap jari peranti ini dan tidak dapat mencuba mengimbas cap jari berlainan.

Buat masa ini tidak diketahui bilakah Wiko U Feel bakal ke pasaran tempatan. Memandangkan mereka baru sahaja bertapak di Malaysia, mungkin ia bakal mengambil satu tempoh masa yang lama sebelum telefon ini mula dijual di pasaran. Di pasaran Eropah, telefon ini bakal dijual pada sekitar EUR 200  ( ~RM 928.62) menjadikan ia dikalangan peranti kelas pertengahan.

Komen