Fitbit Dan Xiaomi Menduduki Tangga Teratas Dalam Pengeluaran Peranti Boleh-Pakai

Fitbit Dan Xiaomi Menduduki Tangga Teratas Dalam Pengeluaran Peranti Boleh-Pakai

Diterbitkan pada Feb 26, 2016 oleh .

Peranti boleh-pakai seperti jam tangan pintar, gelang tangan pintar dan sebagainya merupakan salah satu arena yang sedang dilihat oleh pelbagai pengeluar – dan kebanyakkan daripada pengeluar terkemuka telah pun sedia menyertai arena berkenaan.

Melalui data yang dikeluarkan oleh IDC untuk tahun 2015 yang lepas, sebanyak lebih kurang 78.1 juta unit telah dikeluarkan, dan tangga teratas dalam senarai pengeluaran dan pemasaran berkenaan di pegang oleh FItbit, dan diikuti oleh Xiaomi.

IDC 2015

Pada tahun 2015 yang lepas, Fitbit mempunyai pegangan pasaran sebanyak 26.9%, sekaligus memperlihatkan lebih daripada satu-per-empat pasaran dipegang oleh pihak Fitbit. Walaupun pegangan pasaran mereka menurun jikalau dibandingkan dengan tahun 2014 yang lepas, pihak Fitbit dilihat telah mengeluarkan dan memasarkan lebih unit kepada pengguna berbanding sebelumnya.

Mengikut dibelakang Fitbit adalah Xiaomi dengan pegangan pasaran sebanyak 15.4%. Xiaomi turut memperlihatkan peningkatan unit jualan yang sangat drastik berbanding pengeluar lain. Pada 2014 yang lepas, Xiaomi hanya menjual sekitar 1.1 juta unit sahaja, sementara pada tahun 2015 pula, angka berkenaan meningkat menjadi 12 juta.

Tiga tangga berikutnya diduduki oleh Apple, Garmin dan juga Samsung.

Apa yang menariknya mengenai data ini adalah pengeluar berasaskan Android Wear tidak menduduki lima tangga teratas dalam pasaran peranti boleh-pakai ini. Mungkinkah pada tahun 2016 ini kita akan melihat sesuatu yang berbeza?


TIPS & ULASAN