Samsung Malaysia nampaknya akan melancarkan hanya satu model Galaxy S7 sahaja, iaitu Samsung Galaxy S7 Edge yang hadir dengan rekaan skrin melengkung pada bahagian tepi kedua-dua belah. Tiada penawaran versi Galaxy S7 biasa yang akan dilakukan oleh Samsung Malaysia ketika pelancarannya.
Buat masa ini, ia tidak lagi diketahui sama ada pihak Samsung akan menawarkan versi biasa Galaxy S7 selepas beberapa bulan ataupun sebaliknya.
Galaxy S7 Edge menawarkan skrin melengkung pada bahagian tepi, dan hadir dengan saiz skrin dan kapasiti bateri yang lebih besar. Dari segi spesifikasi, Galaxy S7 Edge hadir dengan skrin 5.5-inci, memori 4GB RAM, kapasiti bateri 3600mAh, dan kamera belakang 12-megapixel F/1.7.
Ia tidak diketahui mengapakah pihak Samsung memilih untuk memperkenalkan Galaxy S7 Edge sahaja untuk pasaran tempatan. Dengan penggunaan skrin melengkung, ia sedikit berharga mahal berbanding versi biasa. Sebelum ini, ia membawakan perbezaan harga sekitar RM500 ketika pengenalan Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge.
Namun, daripada pemasaran, ia akan mungkin menjadikan Samsung lebih mudah memfokuskan pemasaran dengan hanya menumpukan hanya pada satu peranti sahaja.
Samsung akan memulakan pra-tempahan untuk Galaxy S7 Edge ini bermula daripada 7 Mac hingga 11 Mac kelak.