Kid Lid – Kerangka Menghadkan Penggunaan Peranti iOS Untuk Kanak-Kanak

Kid Lid – Kerangka Menghadkan Penggunaan Peranti iOS Untuk Kanak-Kanak

Diterbitkan pada Feb 27, 2016 oleh .

Peranti iOS amat mudah dipelajari dan mengikut kajian seorang bayi berumur dua tahun mampu menggunakannya tanpa masalah. Sebagai seorang bapa seorang puteri berusia setahun setengah kami bersetuju dengan kajian ini. Walaupun masih belum petah berjalan dan pantas berlari, si kecil ini mampu melancarkan aplikasi dan melakukan nyahkunci pada iPad yang dimainkannya. Kerap kali kami mahu hanya satu aplikasi dimainkan oleh si puteri tetapi butang home kerap kali ditekan dan aplikasi bertukar-tukar tanpa kebenaran. Dengan Kid Lid masalah yang menghantui ibu bapa dengan anak kecil dan peranti iOS dapat diselesaikan.

Kerangka-Kid-LidKerangka ini mempunyai panel bawah yang menutup butang home. Ini memastikan si kecil tidak akan hanya dapat memainkan aplikasi yang dibenarkan dan tidak boleh melakukan pertukaran aplikasi dengan menekan butang home. Apabila ibu bapa ingin menggunakan peranti mereka semula, bahagian dagu kerangka yang menutup butang home boleh diputar bagi mendedahkan semula butang home ini. Kid Lid direka untuk iPhone dan juga iPad. Selain sistem menutup butang home, keseluruhan kerangka diperbuat daripada bahan tahan hentakan bagi mengelakkan peranti mengalami kerosakan sekiranya terjatuh ketika digunakan. Kerangka ini adalah evolusi dari Kid Lid asal yang direka untuk menutup papan kekunci sebuah MacBook. Harga jualan bermula dari $10 (~RM 42) sebuah.


TIPS & ULASAN