The Rakyat Post merupakan salah satu portal berita atas-talian yang telah memulakan operasi sekitar tahun 2013 yang lepas. Sejak ia dimulakan, ia telah mencapai beberapa perkara, termasuk menjadi laman ketiga paling popular yang dikunjungi oleh pengguna tempatan pada peranti mudah-alih.
Namun, popularitinya boleh dikatakan tidak memberikan impak yang sama baik pada pendapatan mereka, dan kini telah mengumumkan penamatan operasi mereka.
The Rakyat Post melalui laman Facebook mengatakan mereka akan menghentikan operasi bermula 29 Februari 2016 – dan untuk bulan-bulan akan datang mereka akan melihat kepada penstrukturan semula, dan pada masa yang sama melihat kepada mengatasi masalah berkaitan dana.
Laman The Rakyat Post sendiri telah kurang dikemaskini sejak permulaan bulan Februari ini, dan dikatakan para penulis dan wartawan mereka telah diminta untuk mengambil cuti disebabkan oleh masalah kewangan yang tidak dapat diselesaikan.