MWC 2016 : Caterpillar Cat S60 – Dengan Kamera Infra-Merah Pengesan Haba

MWC 2016 : Caterpillar Cat S60 – Dengan Kamera Infra-Merah Pengesan Haba

Diterbitkan pada Mac 1, 2016 oleh .

Semakin hari semakin banyak teknologi kamera baru yang telah dicipta. Antara nama-nama teknologi berkaitan pengimejan yang dipopularkan termasuklah Light-Field Camera yang membolehkan titik fokus diubah walaupun gambar telah ditangkap, Ultrapixel yang membesarkan saiz pixel, dan juga yang sedang popular, iaitu pemfokusan laser. Caterpillar hadir dengan penawaran yang lain dari yang lain, memberikan kebolehan pengesanan suhu menerusi kamera infra-merah mereka pada peranti Caterpillar CAT S60.

Caterpillar CAT S60
Skrin 4.7-inci 720p
Pemproses Snapdragon 617 1.5GHz lapan-teras
Memori 3GB RAM
Storan 32GB / Kad Mikro-SD Sehingga 128GB
Ciri-ciri Kamera Inframerah, Tahan Lasak.
Kamera Utama 13 MP / Rakaman Video 1080p
Kamera Depan 5MP
Sistem Android 6.0
Kapasiti Bateri 3,800 mAh

Caterpillar merupakan satu jenama yang telah lama bergiat dalam industri pembinaan, jadi ia mungkin bukan satu jenama yang popular dikalangan pengguna umum. Penawaran peranti mereka bersaing dalam industri berat, yang selalunya memerlukan peranti yang tahan lasak. Peranti yang selalu bersaing dalam kategori ini termasuklah Panasonic, Kyocera, Casio, dan banyak lagi. Mereka yang baru-baru ini mengumumkan telefon pintar CAT S60 kini telah mempamerkan peranti ini di Mobile World Congress 2016.

Melihatkan kepada identiti dan rekaan CAT S60, ia direka untuk menahan segala jenis cabaran dalam industri berat. Ia hadir dengan rekaan kerangka yang tebal, bagi melindungi komponen komponen elektronik yang mudah patah atau pecah. Telefon ini direka mengikut piawaian MIL Spec 810G, tahan jatuh, boleh direndam, dan turut boleh berfungsi didalam air Ia juga kalis debu dan gegaran yang melampau. Pada bahagian tepi peranti ini juga terdapat suis khusus untuk menghantar mesej kecemasan (SOS) dengan pantas, memandangkan pengguna telefon pintar ini berkemungkinan menggunakannya di kawasan yang berisiko tinggi, seperti kawasan pembinaan.

MWC2016 - Cat S60 IMG_0514

MWC2016 - Cat S60 IMG_0504 MWC2016 - Cat S60 IMG_0495

Pada muka hadapan peranti ini, terdapat dua suis pada bahagian atas dan dibawah, bersebelahan dengan pembesar suara dan mikrofon. Suis ini bertujuan untuk mengubah ketahanan komponen ini terhadap kedalaman dalam air. Suis tersebut memberikan pilihan antara 2 meter atau 5 meter. Apabila suis ditukar kepada 5 meter, peranti ini boleh bertahan apabila dibawa menyelam sejauh 5 meter.

Bagi memberikan lebih ketahanan pada peranti ini, paparan skrin peranti ini dilengkapi Gorilla Glass 4. Ia hadir pada saiz 4.7-inci namun hanya mempunyai resolusi 1280 x 720p. Dari segi kuasa pemprosesan, peranti ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 617 1.5GHz lapan-teras dan 3GB RAM. Bagi ruangan storan, ia mempunyai kapasiti storan terbina sebanyak 32GB yang boleh ditambah menerusi slot kad Mikro-SD. Tambahan kapasiti storan boleh ditambah sehingga 128GB. Telefon ini hanya boleh dimuatkan dengan satu kad-SIM dan menyokong capaian 4G LTE. Jika diikutkan, boleh dikatakan ia berada pada spesfikasi pertengahan.

MWC2016 - Cat S60 IMG_0492

MWC2016 - Cat S60 IMG_0502

Dari segi kekuasaan kamera, ia merupakan satu perkara utama yang ditekankan pada peranti ini. Kamera utama peranti ini mempunyai sensor pengimejan sebesar 13MP, dengan dwi-LED Flash dan juga kamera infra-merah yang boleh mengesan suhu. Mungkin anda tertanya-tanya apa relevannya kamera yang boleh mengesan suhu pada telefon pintar. Bagi Caterpillar yang akrab dan arif dalam bidang industri berat, pengesanan suhu merupakan satu perkara yang sering dititikberatkan oleh pelanggan mereka. Ini kerana mereka boleh mengesan sebarang kebocoran, tahap air dan sifat-sifat tertentu yang tidak dapat dilihat oleh kamera biasa.

Menerusi demonstrasi dan percubaan kami, kamera infra-merah ini dapat membezakan suhu dengan mudah dan pantas. Menggunakan aplikasi yang dicipta untuk telefon ini, apabila kamera infra-merah dihalakan pada objek, ia juga mempunyai penanda bagi memudahkan pengguna melihat suhu pada titik tersebut. Terdapat juga kanta pembesaran memudahkan pengguna melihat perbezaan warna suhu dengan lebih teliti. Terdapat juga beberapa kesan khas, membolehkan pengguna melihat perbezaan warna secara biasa, atau melihat perbezaan warna menggunakan corak yang berlainan. Seakan-akan filem Predator, dimana makhluk durjana tersebut dapat mengubah mod pengesanan suhu.

MWC2016 - Cat S60 IMG_0520

Dari percubaan juga, agak mudah untuk melihat sekiranya terdapat air didalam tin, dan juga sekiranya terdapat bekas-bekas haba yang tertinggal pada sesuatu permukaan. Pihak Caterpillar turut menyatakan mungkin sekarang ia hanya untuk industri berat, namun pengaplikasian teknologi kamera infra-merah boleh diluaskan kepada bidang lain, seperti bidang perubatan.

Telefon yang beroperasi menggunakan Android Marshmallow dan mempunyai kapasiti bateri sebesar 3,800 mAh ini bakal memasuki pasaran tidak lama lagi dan dijual pada harga USD 599 (~RM 2510). Tidak diketahui sama ada telefon ini bakal memasuki pasaran tempatan.


TIPS & ULASAN