Di dalam dunia e-permainan terdapat tiga kumpulan besar. Golongan pertama ialah golongan yang memainkannya hanya pada peranti pintar. Mereka kerap dilabelkan sebagai pemain santai. Golongan kedua seperti kami ialah pemilik konsol yang tidak mahu memeningkan kepala membeli perkakasan baru bagi memainkan permainan terkini. Golongan terakhir ialah golongan terpilih PC yang akan mahukan kualiti grafik terkini dan tidak peduli perlu berbelanja besar untuk memainkan permainan terkini. Sekiranya ada pemilik Xbox One, berita ini pastinya akan mengujakan anda.
Phil Spencer, ketua divisyen Xbox di Microsoft memberikan petanda di masa hadapan konsol Xbox One akan menerima kemas kini perkakasan sama seperti sebuah PC. Pengguna boleh membeli perkakasan ini bagi menambah kemampuan grafik dan memastikan konsol tidak akan lagi terhad kepada spesifikasi yang tetap sepanjang tempoh jualannya. Ini dapat dilakukan kerana Xbox One menggunakan sistem Universal Windows Application yang memudahkan permainan PC dipindahkan ke konsol ini. Ini sekaligus menghentikan keperluan Microsoft mengeluarkan Xbox Two di masa hadapan. Xbox One asal hanya perlu diberikan model perkakasan baru untuk kekal releven.
Idea penambahan perkakasan ini bukanlah idea yang baru. Sebelum ini Sega menghasilkan kemas kini perkakasan Sega CD dan Sega Genesis 32X untuk Sega Genesis. Konsol 16 bit menggunakan katrij ini kemudian mampu memainkan permainan berasaskan cakera padat dan permainan 32 bit. Kedua-dua modul tambahan Sega ini gagal mendapat sambutan kerana harga yang mahal dan koleksi permainan yang tidak berkualiti. Dengan perancangan Xbox One ini, mungkin suatu hari ini golongan pemain konsol tidak akan lagi dipandang rendah oleh golongan pemain PC.