Apple Mengaku Memberi Bantuan Kepada FBI Dalam Pencarian MH370

Apple Mengaku Memberi Bantuan Kepada FBI Dalam Pencarian MH370

Diterbitkan pada Mac 2, 2016 oleh .

Ulang tahun kedua kehilangan MH370 hanya tinggal enam hari sahaja lagi. Sehingga kini misteri menyelubungi kehilangan pesawat Boing 777-200ER milik syarikat penerbangan MAS ini masih belum terjawab. Kawasan yang mempunyai kebarangkalian tertinggi untuk ia ditemui masih diimbas dengan kapal khas namun yang ditemui setakat ini hanyalah bahagian flaperon sayap yang tersadai di Kepulauan Reunion Julai tahun lalu. Pihak Inmarsat menggunakan teknologi satelit mereka untuk mencari ping terakhir dari pesawat sebelum ianya hilang. Apple hari ini berkongsi maklumat yang tidak diketahui selama ini bahawa mereka membantu FBI dalam usaha mencari MH370.

Di dalam sesi soal jawab berkenaan isu penggunaan sistem penyulitan pada peranti di kongres, penasihat guaman am Apple Bruce Sewell mengaku Apple memberikan bantuan kepada FBI dalam masa sejam selepas pesawat dilaporkan hilang. Bantuan yang diberikan ialah dalam bentuk mencari ping dari peranti Apple yang digunakan oleh penumpang pesawat malang ini. Bruce Sewell juga dipetik berkata sistem GPS iPhone turut pernah digunakan di dalam proses mencari seorang kanak-kanak yang diculik.

Jawapan diberikan kepada soalan sama ada Apple pernah membantu pihak berkuasa sebelum ini. Nampaknya Apple akan membantu pihak berwajib di dalam situasi kecemasan dan kes-kes tertentu sahaja. Di dalam kes iPhone 5C milik penyerang San Bernardino, Apple masih berkeras enggan menyahkunci peranti milik Syed Rizwan atas privasi dan sekuriti pengguna.


TIPS & ULASAN