Selain dari Sony yang telah berkongsi mengenai peranti konsep di Mobile World Congress, terdapat pengeluar-pengeluar lain yang turut hadir dengan hasil kajian dan prototaip terkini. Kyocera yang popular dengan kebolehan yang berlainan, seperti peranti yang tahan air laut dan peranti yang boleh dibasuh dengan air sabun sebelum ini, telah mempamerkan prototaip paparan skrin yang mempunyal sel solar, membolehkan peranti dicaj menggunakan kuasa cahaya pada acara ini.
https://youtu.be/6KS2UdqNfaM
Peranti yang mengecas menggunakan kuasa solar bukanlah sesuatu yang baru. Malah jam tangan keluaran Casio terdapat versi yang membolehkan pengecasan bateri dilakukan menerusi kuasa solar, dibawah siri Tough Solar. Kyocera sewaktu berkongsi dengan kami mengenai perancangan mereka, mereka berminat untuk menghasilkan peranti pintar dengan kerjasama pengeluar. Ini mungkin memberi maksud mereka akan menjadi penyedia panel solar pada paparan, dan bukannya menjadi satu jenama baru untuk bersaing dengan gergasi telefon pintar yang lain.
Untuk menunjukkan bagaimana panel pengecasan solar ini berfungsi, Kyocera telah bekerjasama dengan Sunpartner Technologies bagi menghasilkannya. Panel solar Wysips Crystal diletakkan dibawah panel skrin sentuh dan berada diatas panel paparan imej. Menerusi gambarajah dibawah, sebanyak 4 lapisan digunakan dan panel solar tersebut mempunyai warna hijau kebiruan.
Dari segi rekaan, peranti ini hadir dengan panel skrin ini berwarna hijau kebiruran, yang sengaja diwarnakan bagi memberikan petunjuk terdapatnya panel solar pada paparannya ini. Pihak Kyocera turut mengatakan, warna panel boleh ditukar kepada sebarang warna. Jika panel solar untuk peranti pintar diwarnakan hitam, seperti panel solar yang terdapat pada bumbung rumah untuk pemanas air, ia tidak memberikan sebarang petunjuk yang menandakan paparan skrin tersebut mempunyai panel solar. Jadi pemilihan warna hijau kebiruan ini sedikit sebanyak membezakan paparan skrin yang mempunyai panel solar, dengan yang lain.
Peranti yang ditunjukkan kepada kami dengan kebolehan mengecas menggunakan cahaya merupakan peranti prototaip, dan berfungsi menggunakan sistem Android yang lama. Melihatkan kepada rekaan paparan antaramuka, ia berkemungkinan versi Froyo. Tiada sebarang spesifikasi yang boleh diceritakan, memandangkan ia prototaip. Bagi menunjukkan bagaimana pengecasan peranti dibawah cahaya ini berfungsi, peranti ini telah diletakkan dibawah lampu limpah LED yang boleh diubah tahap kekuatannya.
Kekuatan pengecasan peranti ini berkadar langsung dengan kekuatan cahaya, dimana cahaya yang paling intensif, seperti cahaya matahari atau cahaya lampu LED pada tahap paling kuat akan menunjukkan tahap paling baik (‘Excellent’) dan paling laju untuk pengecasan, sementara kekuatan cahaya pada tahap sederhana (‘Very Good’) dan tahap biasa (‘Good) akan mengecas peranti tersebut secara perlahan. Dari segi kelajuan pengecasan, untuk setiap 3 minit peranti ini dibawah cahaya, 1 minit waktu berbual akan dapat ditambah. Menerusi ujian ringkas, kelajuan pengecasan dilihat pada aplikasi khusus untuknya dan berjaya mengesan perubahan kekuatan cahaya bagi mengecas peranti.
Cahaya matahari mempunyai kekuatan tertinggi untuk mengecas peranti ini. Cahaya bilik atau cahaya lampu kalimantang pula tidak boleh digunakan untuk mengecas peranti ini, kerana cahaya tersebut perlulah kuat. Namun begitu cahaya dari lampu suluh LED boleh digunakan untuk mengecas peranti ini, dengan syarat cahaya tersebut perlulah kuat. Kuat disini boleh dikatakan menghampiri tahap menyakitkan mata, atau panas terik.
Menurut Kyocera, panel pengecasan solar ini bukanlah dicipta untuk menggantikan penggunaan palam kuasa secara keseluruhan. Mereka berkata pendekatan panel pengecasan solar ini boleh diumpamakan seperti enjin kereta hibrid, dan membantu pengecasan pada bila-bila masa tanpa niat untuk menggantikan kuasa yang sedia ada. Seperti contoh sekiranya anda sedang menikmati secangkir kopi di halaman rumah, dengan hanya meletakkan telefon pintar dengan panel pengecasan solar, telefon anda akan mengecas walau beberapa peratus tenaga Panel ini juga berguna bagi mengecas peranti sewaktu ketiadaan bekalan elektrik, terutama diwaktu kecemasan.
Buat masa ini, panel pengecasan solar ini masih di peringkat prototaip. Mungkin ia bakal mengambil beberapa ketika sebelum kita dapat melihat teknologi ini diimplementasi pada peranti kebanyakan pengeluar. Sebagai pengguna yang berasal dari negara dengan iklim tropika khatulistiwa, mungkin fungsi ini bakal disukai ramai. Apa pendapat anda ?