Cari @ Amanz

WhatsApp pada awal minggu ini telah membuat kejutan dengan mengumumkan mereka akan menamatkan sokongan untuk semua platform BlackBerry, termasuk BlackBerry 10 pada tahun 2016 ini. Perkara ini semestinya membuatkan ramai yang tidak begitu senang dengan peranti mereka sedia ada – serta membuatkan mereka membatalkan niat mendapatkan peranti berasaskan BlackBerry 10.

Bercakap mengenainya, pihak BlackBerry melalui akaun Twitter mereka mengatakan mereka sedang melihat kepada pilihan lain untuknya.

Apakah yang sedang dirancang masih tidak diketahui. Pihak BlackBerry sendiri menawarkan sokongan BlackBerry Messenger pada pelbagai platform – tetapi angka penggunanya tidak begitu meluas seperti WhatsApp.

Ia tidak diketahui sama ada pihak BlackBerry mengatakan BBM sebagai pilihan lain – ataupun mereka mungkin juga melihat kepada menawarkan bantuan pembangunan untuk aplikasi WhatsApp. Mereka sedia melakukannya untuk beberapa aplikasi lain – dan ini juga akan mengurangkan kos operasi pihak WhatsApp.

Namun, sehingga kini, pihak WhatsApp tidak memberikan akses kepada pihak ketiga untuk menggunakan perkhidmatan daripada WhatsApp Messenger.

Mungkinkah hal ini berubah untuk BlackBerry – ataupun adakah pengguna BlackBerry sudah boleh mula lupakan WhatsApp Messenger?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd