Lelaki Dipenjara 13 Tahun Gara-Gara Status Facebook Di Pakistan

Lelaki Dipenjara 13 Tahun Gara-Gara Status Facebook Di Pakistan

Diterbitkan pada Mac 5, 2016 oleh .

Status Facebook ialah sesuatu yang dimuat naik mungkin sehari sekali bagi kebanyakan manusia. Ia kemudian dikomen oleh rakan-rakan terdekat dan sekiranya tersalah cakap boleh membinasakan badan. Di Malaysia kerap kali kita lihat status kurang bijak di Facebook menjadi viral. Hanya beberapa bulan lalu seorang lelaki menghina penjaga tempat letak kereta KLCC dan beliau akhirnya terpaksa memohon maaf. Di dalam kes ekstrem, status Facebook menyebabkan seorang rakyat Malaysia melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Facebook

Di Pakistan mereka juga serius tentang status Facebook yang menyinggung perasaan orang ramai. Rizwan Haider dijatuhkan hukuman penjara 13 tahun oleh mahkamah Pakistan kerana status Facebook yang diletakkan pada profil beliau. Status yang dimuat naik Januari lalu dikatakan menghina fahaman umat Islam sunni Pakistan. Selain dipenjara beliau turut didenda sebanyak Rs 250000 (~RM 9696). Peguam beliau akan merayu keputusan mahkamah kerana Rizwan Haider hanya melakukan “like” pada status tersebut dan bukanlah penulis asal.

Kes ini mempunyai persamaan dengan kes seorang pelajar sekolah di Pulau Pinang yang melakukan like pada laman I Love Israel di Facebook pada tahun 2014. Beliau kemudian disiasat di bawah akta hasutan. Sehingga ini kesianmbungan kes ini masih belum diketahui. Sebagai rakyat Malaysia marilah kita sentiasa menjaga tatasusila ketika di atas talian. Tidak semua benda berbuku di hati harus dimuat naik ketika marah. Simpan sahaja sebelum ia memakan diri. Kami bercakap dari pengalaman peribadi.


TIPS & ULASAN