Pandang Pertama Huawei Mate 8 – Phablet Berspesifikasi Tinggi Dengan Rekaan Premium

Pandang Pertama Huawei Mate 8 – Phablet Berspesifikasi Tinggi Dengan Rekaan Premium

Diterbitkan pada Mac 9, 2016 oleh .

Huawei Mate 8IMG_20160216_133829Peranti bersaiz phabet sejak kebelakangan ini menjadi semakin popular dan besar. Hanya dua tahun yang lalu peranti dengan skrin sebesar 5.5″ dikategorikan sebagai phablet tetapi kini ia dianggap sebagai saiz yang normal. Secara keseluruhan hanya peranti dengan saiz sebesar 5.7″ ke atas dikategorikan sebagai phablet. Phablet semakin popular kerana perubahan fungsi peranti. Kini ia bukan sahaja digunakan untuk melayari web tetapi juga digunakan untuk menonton video (melalui YouTube dan iFlix) dan peranti permainan mudah alih.

Huawei Mate 8 dilancarkan di Malaysia sekarang dan ialah sebuah phablet dengan skrin sebesar 6″ dan diperkasakan pemproses Kirin 950. Ia meletakkannya sebagai antara peranti paling berkuasa di pasaran sekarang. Berikut ialah pandang pertama kali selepas pelancarannya semalam

Spesifikasi

Huawei Mate 8/ Mate 8 Preium
Skrin 6″ IPS-Neo LCD FHD
Pemproses HiSilicon Kirin 950
RAM 3/4 Gigabyte
Muatan Dalaman 32/64 Gigabyte (MikroSD sehingga 128 GB)
Kamera Utama 16 Megapixel OIS f/2.0
Kamera Depan 8 Megapixel f/2.4
Bateri 4000 mAh (Tidak boleh taggal)
SIM/Telefoni Dwi Nano SIM/4G
NFC Ya
Infra Merah Tiada
Harga Jualan RM 2099/ RM 2399

Seperti yang kami katakan tadi, Mate 8 mempunyai skrin sebesar 6″ IPS-Neo LCD dengan resolusi HD Penuh. Pasaran peranti utama sekarang sudah mula menggunakan skrin QHD tetapi nampaknya di Huawei (seperti di Sony) mereka merasakan skrin 1080P adalah memadai bagi kebanyakan pengguna.

Secara peribadi kami rasakan panel QHD adalah lebih sesuai pada peranti dengan skrin gergasi seperti Mate 8. Paparan IPS-Neo yang digunakan adalah cantik dan tajam tetapi tidak mampu menandingi panel SAMOLED QHD yang kami temui pada Galaxy Note 5.

Pemproses lapan teras HiSilicon Kirin 950 (2.3 x4 + 1.8 x 4 GHz) dipadakan dengan RAM sebesar 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte pada versi biasa. Pada versi Mate 8 Premium pula ia dipertingkatkan kepada RAM sebesar 4 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 64 Gigabyte. Kedua-duanya menyokong penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte.  Apabila kad MikroSD digunakan, slot SIM kedua akan digunakan.

Kemampuan optik pula ialah kamera utama 16 Megapixel f/2.0 dengan sokongan OIS. Kamera hadapan pula sebesar 8 Megapixel f/2.4. Aneh sekali kamera utama Mate 8 hanya menyokong rakaman pada resolusi maksimum 1080P. Kami difahamkan Kirin 950 adalah cukup berkuasa untuk menyokong rakaman 4K. Mengapa fungsi ini tidak disertakan tidak pula kami ketahui.

Terdapat sebuah pengimbas cap jari pada panel belakang. Ia adalah pengimbas jari yang sama seperti yang digunakan pada Nexus 6P. Ia berbentuk bulat dan tidak perlu ditekan untuk diaktifkan. Akhir sekali sebuah bateri sebesar 4000 mAh digunakan untuk membekalkan kuasa kepada peranti dengan sokongan pengecasan pantas. Menurut Huawei dengan hanya pengecasan selama sejam, peranti ini mampu berfungsi selama satu hari. Sekiranya bateri dicas sepenuhnya ia mampu bertahan sehingga 2.6 hari dan dengan fungsi OTG mampu berubah menjadi powerbank mengecas peranti lain.

Rekaan

Sekilas pandang Mate 8 kelihatan seperti sebuah Mate S yang dibesarkan. Perbezaan hanya kelihatan apabila peranti dipusingkan. Rekaan kamera dan pengimbas cap jari Mate 8 adalah berbentuk bulat berbanding empat segi pada Mate S. Kesemua rekaan lain adalah sama tanpa sebarang perubahan. Butang kuasa dan suara yang diperbuat daripada logam terletak pada sisi sebelah kanan manakala talam SIM/MikroSD terletak pada sisi kiri. Talam SIM yang digunakan perlu dicucuk untuk dikeluarkan dan menyokong dua SIM bersaiz Nano.

Pada bahagian atas terdapat sebuah bicu audio 3.5mm manakala pada bahagian bawah pula terdapat port pengecasan MikroUSB serta sebuah pembesar suara mono. Seperti pada Mate S, hanya kekisi sebelah kanan mengeluarkan bunyi manakala kekisi sebelah kiri hanyalah hiasan semata-mata. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam aluminium.

Panel belakang sedikit melengkung bagi memastikan peranti gergasi ini selepas dipegang di dalam telapak tangan. Kemasan panel belakang adalah sedikit kasar bagi menyukarkan ia dari terlepas dari genggaman dengan mudah.

Panel hadapan menggunakan kaca 2.5D yang memastikan pergerakan jari adalah lancar dari permukaan skrin ke bahagian sisi peranti. Bazel sisi skrin adalah nipis dan kesemua butang navigasi dipaparkan di atas skrin. Penggunaan bazel yang nipis serta butang navigasi di atas skrin ni membuatkan peranti mempunyai saiz yang sama dengan Nexus 6P yang mempunyai skrin sebesar 5.7″.

Secara keseluruhan kualiti bahan binaan dan kemasan Mate 8 adalah amat baik dan kelihatan premium. Ianya setanding dengan apa yang kami temui pada Mate S dan Nexus 6P.

EMUI 4.0

Android 6.0 Marshmallow digunakan dengan pelancar EMUI 4.0. Seperti biasa EMUI tidak mempunyai sebarang talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun dipaparkan pada skrin peranti. Ikon aplikasi boleh dimasukkan ke dalam folder tersendiri mengikut keperluan pengguna. Pelancar rekaan Huawei ini ada membawa beberapa fungsi tambahan yang tidak disertakan pada Android Vanilla. Fungsi tambahan yang disertakan adalah seperti berikut

Knuckle Gesture

  1. Smart Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin mengetuk skrin sesentuh sebanyak dua kali.
  2. Smart Long Screenshot – Mengambil gambar paparan skrin secara memanjang dengan melukis huruf S pada skrin menggunakan buku lima.
  3. Smart Recording – Merakam video paparan skrin dengan melukis huruf “O” pada skrin menggunakan buku lima. Turut boleh diaktifkan dengan menekan butang kuasa dan butang menguatkan suara serentak.
  4. Draw – Melancarkan aplikasi tertentu dengan melakar bentuk tertentu pada skrin yang ditetapkan oleh pengguna. Sebagai contoh huruf “C” untuk melancarkan kamera.

Dwi-Tap – Menghidupkan paparan dengan menekan skrin sebanyak dua kali.

Dual Window – Melancarkan dua aplikasi serentak pada skrin dengan menekan butang multi-window selama beberapa saat.

One Handed UI – Mengecilkan paparan skrin supaya memudahkan akses kepada kesemua elemen antaramuka. Ini dilakukan dengan mentatal dari butang home ke multi-tasking atau home ke back dengan pantas.

Themes – Mengubah tema antaramuka.

Navigation Bar – Menyusun kekudusan empat butang navigasi di bahagian bawah skrin.

Huawei-Mate-8-UI-1 Huawei-Mate-8-UI-2Aneh sekali ada beberapa fungsi EMUI 3.0 yang kami kerap gunakan pada Mate S tidak pula disertakan. Fungsi yang hilang ialah menurunkan talam aplikasi dengan mentatal ke bawah pada pengimbas cap jari. Ini memudahkan anda membaca notifikasi tanpa menyentuh skrin. Kesemua notifikasi diterima boleh dibuang dengan menekan pengimbas cap jari sebanyak dua kali. Kemampuan melakukan tatalan gambar di dalam aplikasi Gallery menggunakan pengimbas cap jari juga tidak disertakan. Kami difahamkan kedua-dua fungsi ini akan disertakan semula di dalam kemas kini EMUI yang bakal diterima Mate 8 dalam masa terdekat.

Kesimpulan

Huawei Mate 8 menggabungkan skrin yang besar, kemasan premium, spesifikasi tinggi, sistem operasi terkini dan pelbagai fungsi tambahan di dalam sebuah pakej lengkap. Pada harga jualan bermula RM 2099, peranti ini memberikan nilai yang baik untuk wang yang dibelanjakan. Hampir kesemua phablet di pasaran dengan spesifikasi setanding dijual pada harga jauh lebih mahal. Dari pengalaman menggunakan phablet ini selama lebih kurang sejam, kami menyukai apa yang kami lihat setakat ini.

Huawei Mate 8IMG_9992

Peranti beroperasi dengan lancar tanpa sebarang sela masa. Ia juga tidak menjadi panas ketika kami melancarkan beberapa aplikasi secara serentak. Pelbagai fungsi tambahan yang disertakan juga memudahkan penggunaannya. Saiz bateri yang besar serta ketahanan bateri yang baik pula membuatkan peranti ini antara yang menarik di pasaran. Kami sedang menantikan unit untuk diulas sebelum memberikan kata putus tentang peranti ini. Teruskan membaca Amanz bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai Huawei Mate 8.


TIPS & ULASAN