Berapakah teras yang diperlukan untuk sebuah peranti pintar? Kebanyakan peranti Android sekarang menggunakan pemproses 8 teras. Apple masih lagi kekal dengan dua teras dan terdapat juga pemproses lapan teras untuk pemproses kelas pertengahan. MediaTek ialah satu-satunya pengeluar cip yang menghasilkan pemproses dengan 10 teras.
Pemproses Helio X20 mempunyai konfigurasi tri-cluster yang unik. Dua teras berfungsi pada kelajuan 2.5 Ghz, empat teras pada kelajuan 2.0 GHz dan empat lagi teras pada kelajuan 1.4 Ghz. Ia sepatutnya bersaing dengan Snapdragon 820 dan Apple A9 tetapi beberapa markah penanda aras yang tertiris menunjukkan ia masih jauh di belakang dua pemproses yang berkuasa ini.
MediaTek kini dalam proses menghasilkan pemproses Helio X30 yang dijangka hadir penghujung tahun ini. Ia masih mempunyai 10 teras tetapi dengan konfigurasi quad-cluster baru. Ia bakal mempunyai empat teras Cortex A72 pada kelajuan 2.5 GHz, dua teras Cortex A72 pada kelajuan 2.0 GHz, dua teras pada Cortex A53 pada kelajuan 1.5 Ghz dan dua lagi teras Cortex A53 pada kelajuan 1.0 GHz. Cip grafik yang bakal digunakan masih belum diketahui. Mereka berharap X30 akan akhirnya mampu bersaing dengan pemproses berkemampuan tinggi keluaran Qualcomm dan Samsung.