Cari @ Amanz

Tahun lalu Huawei telah memperkenalkan pelbagai peranti pintar selain dari telefon dan juga tablet. Honor, salah satu jenama dibawah Huawei turut menampilkan jam tangan pintar sewaktu pengumuman Huawei P8 di London pada tahun lepas, iaitu Honor Band Z1. Jenama Honor meskipun baru sahaja bermula 2 tahun yang lalu, kini telah mendapat tempat dikalangan golongan sasaran mereka, iaitu golongan muda yang aktif di dunia digital dan berani mencuba sesuatu yang baru.

Honor Band Z1 - IMG_0001

Bergantung kepada selera pengguna, faktor berat dan saiz adalah berbeza untuk pengguna. Sesetengah pengguna sukakan rekaan yang berat dan besar, mungkin untuk menampilkan gaya tersendiri. Sesetengah pengguna pula sukakan rekaan yang tipis dan tidak menyerlah, mahukan bentuk jam yang lebih nampak kemas tersemat di pergelangan tangan. Boleh dikatakan sehingga kini pelbagai jam tangan pintar yang dihasilkan mempunyai saiz yang besar namun ia berpunca dari komponen-komponen yang besar.

Berevolusi mengikut perkembangan teknologi, komponen elektronik menjadi semakin kecil dan membolehkan Honor Band Z1 dihasilkan dalam rekaan yang tipis. Jika dibandingkan kenipisan jam tangan pintar ini dengan yang lain, ia mempunyai kenipisan sekitar 0.37 inci. Mungkin ini ada kaitan dengan komponen elektronik bagi jam tangan pintar ini dan juga fungsi yang disertakan oleh Honor Band Z1. Oleh kerana ia tipis, ia sekaligus mengurangkan berat keseluruhan jam ini dan memberikan perasaan yang ringan sewaktu menggunakannya.

Honor Band Z1 - IMG_0012

Honor Band Z1 - IMG_0011

Satu lagi perkara yang membantu mengenai rekaan yang tipis serta muka jam yang bulat dan tiada sisi yang tajam, ia mengurangkan ketidak-selesaan memakainya membolehkan pengguna memakainya sewaktu tidur bagi menentukan kualiti tidur diwaktu malam. Acapkali terdapat maklumbalas pengguna yang menggunakan jam tangan pintar berasa tidak selesa bagi memakai jam sewaktu tidur, dan ini ada kaitannya dengan saiz jam tersebut.

Permukaan jam tangan pintar Honor Band Z1 ini pula mempunyai panel LCD dua warna skrin sentuh PMOLED dan dikelilingi oleh permukaan aluminium dengan kemasan ‘Brushed Aluminium’. Dengan skrin sentuh, tiada sebarang butang yang terdapat pada peranti ini untuk mengoperasikannya. Skrin sentuhnya juga menyokong gerakan jari, dimana bagi melihat statistik jumlah kalori, langkah, dan larian memerlukan pengguna menggerakkan jari dari atas ke bawah permukaan skrinnya.

Huawei Honor Band

Honor Band Z1 - IMG_0019

Namun dengan navigasi sebegini juga ia merupakan satu masalah, dimana agak sukar untuk mengagak bagaimana menggunakannya pada kali pertama. Ia memerlukan beberapa ketika untuk membiasakan pengguna mengoperasikannya. Menu kawalan pada jam tangan pintar ini agak terhad, dan boleh dikatakan kawalan yang terdapat pada jam ini hanyalah untuk perkara asas yang boleh dilakukan oleh Honor Band Z1.

Pada permukaan belakang peranti ini terdapat pin pengecasan bagi mengecas bateri peranti ini. Tempoh operasi peranti ini boleh dikatakan pada kadar pertengahan, dimana pada pengecasan penuh, jam ini boleh beroperasi sekitar 3-4 hari jika anda sentiasa menggunakannya, seperti untuk melihat waktu atau notifikasi. Menurut Huawei, sekiranya anda tidak menghubungkan jam tangan ini dengan telefon pintar anda, ia mempunyai waktu sedia selama 14 hari tetapi jika perkara tersebut (tidak menghubungkan jam tangan pintar dengan peranti pintar) dilakukan. Secara kasarnya, anda boleh mematikan sokongan Bluetooth pada peranti ini dan hanya menghubungkan ia kepada telefon pintar anda sehari sekali atau dua kali sahaja untuk menjimatkan penggunaan bateri pada peranti ini, dan menggunakan Honor Band anda untuk tempoh yang lebih lama.

Honor Band Z1 - IMG_0016

Bagi mengecas peranti ini, terdapat panel pengecas magnetik yang mampu mengecas penuh Honor Band Z1 ini dalam tempoh 1 jam setengah dan sekiranya pengguna tidak mempunyai masa, pengecasan selama 10 minit berupaya memberikan kuasa kepada jam ini selama sehari.

Seolah-olah mengikuti slogan Honor iaitu ‘For The Brave’, Honor Band Z1 turut kalis air dan debu pada kadar ketahanan IP68 tampil agak berbeza dengan yang lain. Jika jam tangan pintar yang lain berlumba-lumba dihasilkan dan beroperasi menggunakan Android Wear, Honor Band Z1 mempunyai sistem operasinya yang tersendiri, tidak mengikuti jenama lain, malah ‘abangnya’ Huawei Watch sendiri.

Huawei Honor Band

Sistem operasi pada Honor Band Z1 membolehkan pelbagai perkara asas yang menjadi syarat sebuah ‘jam tangan pintar’ dilakukan padanya. Sebagai jam tangan pintar, antara fungsi yang wajib dimiliki termasuklah mempunyai notifikasi sewaktu panggilan diterima, membolehkan mesej SMS dibaca, serta mempunyai pengesan kecergasan pada tahap asas (mengira langkah). Kesemua perkara ini boleh dilakukan dengan mudah oleh jam tangan pintar ini.

Walaubagaimanapun, memandangkan fungsi dan spesifikasi jam ini agaklah asas, jam tangan ini lebih kearah ‘Read-only’, iaitu hanya membenarkan pengguna membaca dan tiada sebarang maklumbalas boleh diberikan kepadanya. Ia tidak membolehkan pengguna melakukan perkara yang lebih rumit seperti melakukan panggilan, membalas mesej, malah tidak terdapat fungsi-fungsi asas pada jam digital seperti kiraan masa dan juga jam randik. Ini merupakan salah satu kelemahan terbesar jam ini. Bagi unit yang dicuba, ia dengan jelas menampilkan paparan panggilan yang tidak diangkat.

Huawei Honor Band

Bagi melihat data-data yang telah disukat oleh jam ini, pengguna perlu memuat-turun aplikasi Huawei Band yang terdapat menerusi platform iOS dan Android. Data-data tersebut dipaparkan pada paparan yang mudah, dan kemas, dan kebanyakan tetapan tambahan pada jam tangan pintar ini diletakkan pada bahagian tepi aplikasi ini, seperti memberikan peringatan apabila pengguna tidak bergerak untuk satu tempoh masa. Pengguna juga boleh menetapkan penggera dan menetapkan sasaran aktiviti kecergasan menerusi aplikasi ini.

Honor Band Z1 - IMG_0017

Antara perkara lain pada jam tangan pintar ini ialah ia mempunyai tali yang tidak boleh ditukar. Hal ini mengurangkan pilihan kustomasi pada jam, dimana kebanyakan jam tangan pintar memudahkan pengguna menukar tali jam, dengan tali jam yang sedia dijual. Untuk versi ulasan ini, kami mempunyai versi terhad berwarna emas dengan tali kulit yang perlu dililitkan dua kali pada pergelangan tangan, dan mempunyai kelebaran berbeza berbanding tali versi biasa yang ditawarkan untuk pasaran tempatan.

Satu lagi perkara adalah pengguna tidak boleh menambah aplikasi pilihan sendiri, seperti Pebble ataupun jam tangan Android Wear. Meskipun begitu, memandangkan harganya ditawarkan pada harga yang mampu milik, jauh lebih rendah dari yang lain, jam tangan pintar Honor Band Z1 boleh dikatakan satu pilihan yang baik bagi anda yang ingin mencuba memakai jam tangan pintar. Seperti peranti Honor yang lain jam tangan pintar Honor Band Z1 ini boleh dibeli menerusi halaman Vmall.

Kelebihan Kekurangan
  • Harga yang rendah dan mampu-milik.
  • Rekabentuk yang menarik, minimalis, dan turut mesra untuk pengguna wanita.
  • Menyokong Android dan iOS.
  • Talinya tidak boleh ditukar dengan mudah.
  • Fungsi terlalu asas dan tidak boleh muat-turun aplikasi lain.
  • Kaedah pengendalian yang agak sukar ketika pertama kali menggunakannya.

Penafian: Advertorial dari Honor

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd