Masih belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru dan setiap tahu baru produk terkini akan memasuki pasaran. Hari ini tiba giliran Razer Blade 2016 dilancarkan dan ia membawakan beberapa perubahan kecil berbanding edisi tahun lalu. Ia dilengkapi skrin sesentuh 14″ IGZO QHD+ dengan resolusi 3200×1800 pixel, diperkasakan pemproses Intel Core i7 generasi ke-enam, RAM DDR4 sebesar 16 Gigabyte dan muatan dalaman 256/512 Gigabyte SSD PCie M.2.
Kad grafik yang digunakan pula ialah Nvidia GeForce GTX 970M dengan VRAM 6 Gigabyte GDDR5. Papan kekunci yang digunakan pula berlampu dengan setiap kekunci mempunyai sumber lampu tersendiri dan mampu memaparkan 16.8 Juta warna. Dari segi pilihan penyambungan pula Blade 2016 mempunyai 1 port USB-C, 3 port USB 3.0 dan satu port HDMI bersaiz normal. Dari segi audio pula ia menyokong sistem audio Dolby Digital Plus Home Theater Edition. Bateri sebesar 70 Wh melengkapi spesifikasi komputer riba khas untuk peminat permainan komputer ini.
Walaupun mempunyai spesifikasi yang menakjubkan Blade 2016 masih mengekalkan rekaan kompak dengan ketebalan maksimum 1.78 sentimeter dan hanya seberat 1.93 Kilogram. Harga jualan bermula dari $1999 (~RM7861) sebuah.