Terdapat beberapa peranti realiti maya yang bersaing untuk menjadi raja di dalam industri yang masih baru ini. Oculus Rift adalah peranti realiti maya pertama yang mendapat perhatian ramai dan kini dimiliki oleh Facebook. HTC Vive pula merasakan pengguna tidak perlu statik ketika menyelami dunia realiti maya. Microsott Hololens pula mengambil langkah berbeza menggabungkan dunia realiti dan maya menggunakan hologram 3 dimensi. Sulon Q HMD, sebuah peranti yang baru sahaja dilancarkan di GDC menggabungkan fungsi Oculus, Vive dan Hololens.
Peranti dua dalam satu ini boleh digunakan sebagai peranti realiti maya dan juga peranti AR (augmented reality). Seperti Hololens, Sulon Q HMD tidak memerlukan sebuah PC untuk berfungsi. Ia mampu berfungsi dengan sendiri kerana dilengkapi pemproses AMD FX-8800P dan kad grafik Radeon R7. Ini mampu memaparkan grafik pada resolusi 2560×1440 pixel pada skrin OLED yang terbina. Peranti hibrid ini dijangka memasuki pasaran pada penghujung musim bunga ini namum harga jualan masih belum diumumkan.