Cari @ Amanz

Pada hari ini, terdapat beberapa penyedia perkhidmatan yang menawarkan perkhidmatan sewa WiFi mudah-alih atau pocket WiFi, membolehkan anda membawanya bersama-sama ketika bercuti ke luar negara, dan kekal mengakses internet melaluinya.

Terkini, salah satu perkhidmatan baru yang hadir ke pasaran tempatan adalah Travel Recommends. Melaluinya, mereka akan menawarkan sebuah penghala bersaiz kecil untuk dibawa bersama-sama anda, dan anda hanya perlu membayar sewa harian yang lebih murah berbanding dengan harga yang anda bayar untuk perayauan menggunakan talian mudah-alih.

Untuk menggunakannya, pengguna perlu membuat tempahan melalui laman Travel Recommends lebih kurang lima hari bekerja sebelum tarikh anda pergi bercuti. Anda boleh membuat pilihan sama ada ingin mengambilnya di KLIA ataupun dihantar ke alamat pilihan anda.

Ketika membuat tempahan, pengguna turut akan diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM200, dan boleh menikmati WiFi tanpa had ketika berada di luar negara.

Untuk memulangkannya, pengguna hanya perlu kembalikan penghala berkenaan di reruai Travel Recommends di KLIA atau menghantar ia melalui kurier. Deposit yang dibayar pada awalnya akan dikembalikan semula sebaik sahaja penghala tersebut diterima kembali oleh Travel Recommends.

Buat masa ini, pihak Travel Recommends menyokong beberapa buah negara, termasuk Taiwan serendah RM15 sehari, Singapura serendah RM24 sehari, China serendah RM28 sehari, dan Australia serendah RM35 sehari.

Travel Recommends

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd