Cari @ Amanz

Dengan perkembangan arena internet, salah satu perkara yang kini menjadi fokus ramai adalah sokongan privasi data pengguna. Terkini, salah satu perkhidmatan emel yang memfokuskan penawaran emel dengan penyulitan adalah ProtonMail.

ProtonMail

ProtonMail telah memulakan projek mereka dengan mengumpulkan dana melalui IndieGogo lebih kurang dua tahun yang lepas, dan telah memulakan perkhidmatan mereka dalam bentuk beta tertutup sebelum ini. Terkini, mereka membuka penawaran perkhidmatan emel dengan penyulitan kepada semua pengguna seluruh dunia, sekaligus membolehkan mereka yang berminat dengan sekuriti dan penyulitan untuk mendaftar akaun ProtonMail.

Memandangkan ProtonMail memfokuskan kepada privasi pengguna, tiada sebarang iklan yang disertakan pada perkhidmatan mereka – dan mereka lebih memfokuskan kepada sumbangan pengguna untuk terus beroperasi. Mereka turut menyediakan penaik-tarafan kepada perkhidmatan berbayar dengan ruangan storan lebih tinggi dan sokongan domain emel lain.

Tetapi, sekiranya anda ingin mencuba sahaja buat masa ini, anda boleh mendaftarkan akaun emel percuma dengan alamat @protonmail.com hari ini, dan mencuba perkhidmatan emel yang menyokong penyulitan pada kadar sehingga 4096 bit ini hari ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd