Cari @ Amanz

Xiaomi Redmi Note 3 (Versi Snapdragon)
Chipset Qualcomm MSM8956 Snapdragon 650
CPU 1.4 GHz Cortex-A53 empat-teras
1.8 GHz Cortex-A72 dwi-teras
GPU Adreno 510
Memori 2GB/3GB RAM
Storan 16GB/32GB, microSD sehingga 128GB
Kamera Utama 16MP auto-focus, f/2.0, rakaman 1080p
Kamera Hadapan 5MP, f/2.0, rakaman 1080p
Skrin 5.5-inci IPS, 1080×1920 piksel, 403 ppi
Sambungan 4G LTE, WiFi, A-GPS, Bluetooth 4.1
Sistem MIUI 7 berasaskan Android 5.1 Lollipop
Bateri 4000 mAh, tidak boleh dikeluarkan
Berat & Ketebalan 164g, 8.7mm

​Pada November 2015, Xiaomi telah melancarkan Redmi Note 3 yang membawakan binaan berasaskan logam dan fungsi pengimbas cap jari. Ia juga mengekalkan cip pemprosesan yang sama pada Redmi Note 2 iaitu Helio X10 yang merupakan pemproses flagship daripada MediaTek pada tahun lepas. Ia dipasarkan untuk negara China terlebih dahulu yang mana set importnya boleh didapati di Malaysia bermula RM699 melalui laman jualan online.

Namun dari segi kekurangan peranti awal (versi MediaTek) ini adalah ketiadaan sokongan penambahan memori microSD yang sedikit sebanyak membantutkan hasrat pengguna untuk mendapatkan peranti ini. Ramai yang berkira-kira untuk terus mendapatkan Redmi Note 2 walaupun hadir dengan binaan berasaskan plastik dan ketiadaan pengimbas cap jari, demi sokongan microSD.

Dengan kelemahan yang hadir pada Redmi Note 3 versi MediaTek, Xiaomi telah memperbaikinya dengan pengenalan model Snapdragon untuk pasaran antarabangsa. Malaysia adalah salah satu negara yang bakal menerima set ini yang mana akan ditawarkan pada sekitar April ini.

Rekabentuk

Redmi Note 3 membawakan prinsip rekabentuk yang sama seperti Redmi Note 2 dengan binaan berasaskan logam. Ia kelihatan lebih menarik dan lebih premium apabila dilihat namun salah satu fungsi menarik telah dibuang untuk binaan ini. Kini bahagian belakangnya tidak boleh dibuka sekaligus tidak membenarkan sokongan pertukaran bateri seperti yang terdapat pada Redmi Note 2. Namun dengan peningkatan bateri 4000 mAh berbanding 3060 mAh di Redmi Note 2, kekurangan ini boleh dimaafkan.

Binaan hadapan masih lagi mengekalkan skrin IPS LCD 5.5-inci dengan resolusi 1080p yang membawa ketumpatan skrin setinggi 403 ppi. Ia mungkin tidak sebaik peranti flagship yang biasanya hadir dengan skrin AMOLED bersama ketumpatan skrin lebih tinggi, namun skrin peranti ini masih memaparkan kandungan dengan terang dan jitu. Sejujurnya saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk melihatnya walaupun dilihat dari darjah berbeza. Pandangan di bawah matahari juga dilihat begitu baik atas kehadiran teknologi Sunlight Display pada peranti ini.

Redmi Note 32016-03-23 05.45.15 1

Redmi Note 3 juga masih mengekalkan IR blaster pada bahagian atas seperti mana yang hadir pada Redmi 2. Ia membolehkan peranti menjadi alat kawalan jauh untuk mengawal sejumlah peranti elektrik seperti TV, radio, dan penghawa dingin. Pada bahagian sisi pula telah menempatkan slot dual-sim yang kini hadir bersama sokongan hibrid microSD. Sekiranya anda tidak menggunakan sim kedua, anda boleh menggunakan slot ini dengan penambahan memori sehingga 128GB.

Perbezaan utama Redmi Note 3 dan Redmi Note 2 selain daripada rekabentuk semestinya kehadiran pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti. Ia mampu menyahkunci peranti ini dengan menyentuhnya, tanpa perlu mengaktifkan skrin terlebih dahulu. Xiaomi mengatakan pengimbas ini mampu menyahkunci peranti dengan 0.3 saat sahaja, dan saya mengesahkannya selepas menggunakan peranti ini. Ia cukup pantas setanding pengimbas cap jari yang hadir pada Oppo R7 Plus dan Nexus 6P.

Sistem

Redmi Note 3 versi Snapdragon ini turut hadir dengan MIUI 7 yang dibina berasaskan Android 5.1 Lollipop. Antaramukanya dilihat sangat meriah dengan keceriaan warnanya bersama sokongan tema yang didatangkan secara terbina. Xiaomi telah menawarkan 5 sokongan tema berlainan mengikut mood anda seperti Rose, Pink Blush, Ocean Breeze, High Life & Default pada peranti yang dijana dengan MIUI 7. Sekiranya anda memilih tema High Life, ia akan membawakan antaramuka elegan termasuk dari segi penggunaan warna sedikit gelap dan binaan ikonnya berasaskan eksekutif.

Redmi Note 3 MIUI 7

MIUI 7 juga kini membawakan sokongan XXL text yang membolehkan pengguna mengubah saiz teks mengikut keselesaan terutama untuk golongan berusia. Ia turut hadir dengan fungsi Baby Album yang membolehkan gambar bayi di dalam galeri pengguna dikelaskan secara automatik ke dalam album yang berlainan. Sekiranya risau anak-anak anda menggunakan peranti anda, ia juga hadir dengan Child Mode yang mampu menghalang anak-anak anda mengakses email dan mengubah susunan layout pada homescreen anda. MIUI 7 turut menambahbaik pengalaman pengguna yang mana memberikan peningkatan sehingga 30% untuk prestasi dan 10% untuk jangka hayat bateri.

Kamera

Agak menarik sebenarnya Redmi Note 3 versi MediaTek dan Snapdragon ini terdapat perbezaan dari segi kamera, walaupun menggunakan nama model yang sama. Pada versi MediaTek, Redmi Note 3 telah didatangkan bersama kamera 13MP dengan aperture f/2.2 yang juga digunakan pada Redmi Note 2. Menariknya, Xiaomi telah menaiktaraf kamera ini ke sensor 16MP dengan aperture f/2.0 untuk versi Snapdragon. Bermakna, kamera pada Redmi Note 3 versi Snapdragon kini mampu mengambil gambar dengan lebih terang atas kehadiran aperture yang lebih besar.

Redmi Note 32016-03-23 05.45.14 1

Selain daripada sensor, Redmi Note 3 versi Snapdragon ini masih membawakan phase detection autofocus bersama sokongan dual-tone flash seperti yang hadir pada versi MediaTek. Namun dari segi video, ia juga mengekalkan rakaman 1080p@30fps walaupun secara rasminya Snapdragon 650 mampu merakam rakaman setinggi 4K.

Redmi Note 3 Benchmark

Prestasi

Saya cukup teruja bagaimana cip pemprosesan ini mampu menyaingi cip berkelas flagship seperti Snapdragon 808 dan Snapdragon 810. Mungkin sebab itulah Qualcomm menjenamakan semula Snapdragon 618 kepada Snapdragon 650 atas prestasinya yang cemerlang, baik dari segi prestasi dan bacaan benchmark. Pada AnTuTu Benchmark 6, Redmi Note 3 mencatatkan mata keseluruhan sebanyak 75770, hampir menyamai bacaan benchmark sebuah Xperia Z5 (Snapdragon 810) dengan mata 76862.

Dari segi grafik, Snapdragon 650 didatangkan dengan GPU Adreno 510 yang membawakan markah setinggi 8110 pada bacaan grafik AnTuTu. Sebagai perbandingan, Adreno 418 pada Snapdragon 808 hadir dengan markah berjumlah 6723 dan PowerVR G6200 pada Helio X10 pula membawakan markah 3309. Apabila dinilai dari segi prestasi keseluruhan, versi Snapdragon ini jauh meninggalkan prestasi Redmi Note 3 versi MediaTek yang membawakan markah 48354 pada AnTuTu.

Keseluruhan

Xiaomi dilihat telah membawa banyak penambahbaikan pada Redmi Note 3 sebelum memasarkannya pada pasaran antarabangsa. Sokongan seperti microSD semestinya menjadi selling point tanpa perlu lagi menyukarkan pengguna berkompromi untuk mendapatkan Redmi Note 2 atau peranti lain. Kehadiran seperti kamera yang dikemaskini kepada 16MP f/2.0 juga sangat dialu-alukan, membolehkan pengguna mendapatkan gambar yang lebih terang berbanding versi MediaTek.

Saya cukup teruja dengan Snapdragon 650 yang bukan sahaja mendapat markah tinggi dari segi bacaan benchmark, malah membawakan prestasi yang begitu lancar apabila meneroka keseluruhan antaramuka. Saya yakin, dengan rekod cip pemprosesan yang mesra tenaga oleh Qualcomm sebelum ini, gandingan bateri 4000 mAh dan Snapdragon 650 ini mampu memberikan jangka hayat bateri yang lebih baik berbanding penggunaan cip MediaTek Helio X10.

Sokongan-sokongan lain seperti pengimbas cap jari ini juga cukup membawa peranti ini menyerlah walaupun ia hanyalah sebuah peranti berkelas pertengahan. Sekiranya ia diletakkan pada harga sekitar RM700-RM800, ia sebuah peranti yang cukup berbaloi atas kehadiran fungsi dan prestasi yang hampir menyamai sebuah peranti berkelas tinggi.

*Terima kasih @Piratz atas peminjaman peranti ini!

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd