WeChat telah mengumumkan pada tahun lepas, mereka akan membawa sokongan pembayaran melalui aplikasi permesejan mereka ke pasaran tempatan. Namun, sejak daripadanya mereka senyapkan diri tanpa sebarang kemaskini.
Terkini, selang lebih setahun, WeChat telah mulakan ujian WeChat Wallet dikalangan beberapa pengguna terpilih – sekaligus memberikan petanda ia bakal diperkenalkan secara meluas dalam masa terdekat.
Bagi yang tidak mengenali akan WeChat Wallet, ia merupakan salah satu perkhidmatan terbina pada aplikasi permesejan WeChat. Melaluinya, pengguna boleh menghantar duit kepada rakan-rakan di WeChat, atau pada masa yang sama turut membeli barangan dan perkhidmatan melaluinya. Seperti ramai sedia maklum, WeChat merupakan salah satu perkhidmatan yang besar di China dan pelbagai perkhidmatan yang menerima bayaran melaluinya.
Di Malaysia, untuk peringkat ujian ini, ia membolehkan pengguna membuat pembelian kad tambah-nilai, membuat pembelian tiket wayang dan juga tiket penerbangan. Seperti beberapa perkhidmatan dompet digital yang lain, pengguna akan diperlukan untuk menambah kad kredit atau debit mereka terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya.
Buat masa ini, ia masih pada peringkat ujian lagi, dan WeChat dijangka akan memperkenalkan sokongan untuk lebih pembayaran lain sebaik sahaja ia dilancarkan kepada umum.