Ubisoft Membuka Studio Baru Di Filipina – Studio Kedua Di Asia Tenggara

Ubisoft Membuka Studio Baru Di Filipina – Studio Kedua Di Asia Tenggara

Diterbitkan pada Mac 30, 2016 oleh .

Ubisoft, studio yang bertanggungjawab menghasilkan permainan popular Far Cry, Assassin’s Creed, Watch Dogs, Rainbow Six, Prince of Persia dan Splinter Cell. Mereka membuka studio pertama mereka di rantau Asia Tenggara di Singapura pada tahun 2008 dengan tujuan mencari bakat baru yang wujud di rantau ini. Studio yang masih boleh dikatakan baru ini bertanggungjawab menghasilkan sistem peperangan laut di dalam Assassin’s Creed III yang menjadi sangat popular sehingga menjadi asas untuk Assassin’s Creed IV Black Flag dan Rogue.

Ubisoft-gamesMereka kini akan membuka sebuah lagi studio di Filipina kerana menyedari masih terdapat ramai lagi individu berbakat di dalam pembikinan permainan komputer di rantau ini. Studio akan dibuka pada suku kedua 2016 di dalam kampus De La Salle University yang terletak di Santa Rosa, sebuah bandar di selatan Manila. Sebanyak 50 kakitangan akan bekerja di studio baru yang akan menumpukan kepada bakat-bakat dari Filipina.

Ini ialah inisiatif untuk mengekalkan kepakaran di dalam negara ini kerana sebelum ini mereka yang mahu terlibat di dalam industri permainan komputer perlu berhijrah ke luar negara. Ubisoft Phillipines akan diketuai oleh kakitangan-kakitangan berwarganegara Filipina yang dahulunya bekerja di Ubisoft Singapura. Sirih pulang ke gagang dan selepas ini agaknya apakah inovasi baru di dalam dunia permainan komputer yang bakal muncul dari warga Filipina?


TIPS & ULASAN