Cari @ Amanz

Jenama TP-Link mungkin lebih dikenali pengguna untuk produk rangkaian WiFi internet rumah namun kini mereka ingin menawarkan lebih banyak produk lain. Pada hari ini mereka telah menghadirkan peranti telefon pintar untuk pasaran tempatan, dibawah label Neffos.Dua telefon pintar telah diperkenalkan TP-Link iaitu Neffos C5 dan juga Neffos C5L. Neffos C5 merupakan telefon pintar berspesifikasi pertengahan, manakala Neffos C5L mempunyai penawaran spesifikasi asas.

Neffos C5 yang dibawakan ke pasaran tempatan ingin bersaing dengan peranti lain pada kelas pertengahan, menyertakan cip pemprosesan MediaTek MT6735 1.3GHz Quad-core 64-bit dengan RAM sebesar 2GB. Kapasiti storan telefon pintar ini adalah sebesar 16GB dan boleh ditambah dengan kad Mikro-SD. Namun apa yang sedikit mengecewakan adalah had kapasiti yang boleh ditambah hanyalah sebesar 32GB, menjadikan jumlah kapasiti storan hanyalah sebesar 48GB.

Neffos C5 - IMG_9942

Neffos C5 juga hadir dengan paparan skrin bersaiz 5-inci mempunyai resolusi 1280×720. Kamera utamanya mempunyai sensor pengimejan sebesar 8MP dan dilengkapi dua lampu LED Flash dan boleh merakam video 1080p. Kamera hadapanya pula sebesar 5MP dengan sudut luas. Mengikut trend masakini, telefon ini juga boleh memuatkan dua kad SIM 4G LTE namun masih menyertakan sistem operasi Android Lollipop. Baterinya pula berkapasiti 2200mAh.

Untuk Neffos C5L, pada kelas asas, telefon ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 210 1.1 GHz dengan 1GB RAM. Ia turut disertakan dengan kebolehan menggunakan dua kad Mikro-SIM yang menyokong rangkaian 4G LTE dan beroperasi menggunakan Android Lollipop.

Neffos C5L - IMG_9977

 

Antara spesifikasi lain yang ditawarkan pada telefon ini termasuklah kamera utama 8MP yang boleh merakam video 720p dan kamera hadapan 2MP. Kapasiti storan terbina pada telefon ini adalah 8GB dan boleh ditambah dengan kad Mikro-SD sehingga 32GB. Kapasiti bateri Neffos C5L pula adalah sebesar 2000mAh.

Neffos C5 ini ditawarkan pada harga RM539 manakala Neffos C5L akan ditawarkan pada harga RM359. Kedua-dua telefon ini akan hadir pada dua pilihan warna, iaitu putih dan kelabu gelap serta akan mula dijual pada 12 April ini secara eksklusif menerusi Lazada.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd