Selain daripada filem dan permainan video, Square Enix juga mengumumkan bahawa Final Fantasy XV akan mempunyai siri anime mereka sendiri, dan akan diberikan nama sebagai Brotherhood: Final Fantasy XV. Siri anime ini akan mempunyai lima episod, sepanjang 10 minit setiap satu, menceritakan tentang permulaan Noctis bersama tiga rakan mereka mengembara dari Crown City, dan akan boleh ditonton secara percuma dari laman YouTube.
Siri tersebut dibangunkan oleh syarikat A-1 Pictures, yang mana merupakan syarikat sama yang membangunkan siri anime seperti Sword Art Online dan Black Butler, serta Persona dan Valkyria Chronicles yang berdasarkan dari permainan video.
Menurut Square Enix lagi, siri anime ini akan mengikuti kisah perjalanan Noctis menaiki kereta dengan rakan bertiga dari demo yang mereka persembahkan sebelum ini, dan akan berlainan dari plot penceritaan pada permainan Final Fantasy XV. Anda sudah boleh menonton episod pertama siri anime mereka pada video yang kami telah letakkan di bahagian atas.