Carian
Jualan iPhone SE Dilaporkan Jauh Lebih Rendah Berbanding iPhone Versi Terdahulu
April 1, 2016 Effi Saharudin

iPhone SE mula dijual semalam dan setakat ini jualannya dilaporkan jauh lebih rendah berbanding versi terdahulu. Slice Intelligence sebuah syarikat yang melakukan analisis berdasarkan pra-tempahan peranti terkini ini mendapati jualan iPhone SE hanya sekitar 3% jualan yang diterima oleh iPhone 6 ketika dilancarkan dua tahun yang lalu. Ini tidak bermakna iPhone SE ialah peranti yang gagal. Sebaliknya SE ialah peranti yang mensasarkan golongan yang berbeza dari iPhone 6 dan juga 6S.

Iphone-SE-Sales-1

Berdasarkan analisis mereka, majoriti pembeli SE ialah mereka yang sudah dua tahun tidak membeli sebarang iPhone. Nyata sekali mereka ini adalah pengguna iPhone 5S yang tidak mahu bertukar kepada iPhone dengan skrin lebih besar.

Analisis paling menarik ialah 16% pembeli iPhone SE sebelum ini menggunakan peranti Android.  Sebagai perbandingan 10% pembeli iPhone 6S sebelum ini menggunakan peranti Android. Nampaknya SE ialah peranti yang berjaya menarik pengguna Android untuk berhijrah ke iOS dengan lebih efektif.

Sebagai pengguna Android kami akui SE ialah iPhone paling mampu milik di pasaran dan membuatkan kami sendiri terfikir untuk mencubanya sendiri. Mungkin inilah taktik sebenar Apple. Ia bukannya dihasilkan sebagai pesaing iPhone yang lebih terkini ataupun peminat Apple. Sebaliknya ia adalah peranti yang diwujudkan untuk menarik pengguna Android untuk berjinak-jinak dengan ekosistem Apple.

Komen