Carian
Pandang Pertama Uncharted 4 : A Thief’s End
April 5, 2016 Effi Saharudin

Tinggal lebih sebulan sahaja lagi sebelum permainan terakhir di dalam siri Uncharted akan menemui peminat. Selepas ditangguh selama tiga kali, pembangunan permainan ini akhirnya selesai beberapa minggu yang lalu. Sejak dari pengumuman ini dilakukan pelbagai maklumat mengenai Uncharted 4 A Thief’s End mula dikongsi oleh pihak Naughty Dog dan Sony sebagai promosi menjelang pelancarannya secara rasmi. Kami bernasib baik kerana dijemput oleh pihak Sony Asia untuk menghadiri sesi tertutup demo permainan ini di Singapura minggu lalu. Di dalam acara ini kami diberikan peluang untuk melihat sendiri binaan terakhir U4 dan merasai sendiri corak permainan baru yang diperkenalkan kali ini.

Demo

Uncharted 4 20160329_140921Sesi tertutup ini hanya membenarkan kami bermain di sebuah kawasan tanah lapang di Madagascar. Menurut Sony, apa yang terpasang pada konsol ialah binaan terakhir tetapi bagi mengelakkan spoiler kami hanya dibenarkan bermain sekitar 30 minit sebuah misi yang berlaku 1/3 ke dalam jalan cerita utama.

Demo ini membolehkan kami mencuba memandu kenderaan di dunia terbuka. Ini tidak pernah dilakukan di dalam sisi Uncharted 4. Memang pernah wujud aksi memandu kereta dan jetski di dalam Uncharted – Drake’s Fortune tetapi ia adalah aksi on-rails yang hanya membenarkan pemain mengawal secara terhad. Di dalam demo ini Drake boleh keluar dan masuk dari kenderaan secara bebas. Jip yang dipandu digunakan untuk bergerak di dalam peta yang amat besar.

Naughty Dog ada mengatakan peta di dalam UC4 adalah 10 kali ganda lebih besar. Ia memberikan kebebasan kepada pemain untuk menjadi jalan ke objektif mengikut cara mereka sendiri. Tiada peta mini disertakan dan arah yang perlu dipandu diketahui dengan mendengar celoteh Sam dan Sully yang menemani Drake di dalam kereta.

Peta yang besar ini turut memberikan beberapa teka-teka yang menarik. Permukaan batu yang berlumpur dan basah akan menyebabkan kereta pacuan empat roda tergelincir. Pemain perlu mencari jalan yang paling baik untuk dilalui untuk menuju ke sasaran. Di tempat-tempat tertentu terdapat pula teka-teka yang memerlukan sistem takal.  Apa yang dilakukan oleh Naugty Dog ini mengingatkan kami kepada misi Venice di dalam Tomb Raider 2. Kenderaan bukan sahaja boleh dipandu tetapi menjadi alat untuk menyelesaikan teka teki. Air terjun dan ketulan batu perlu dipanjat menggunakan kereta pacuan empat roda yang diberikan. Pemain perlu kreatif menjadi petanda jalan manakah yang paling baik untuk sampai ke destinasi.

Grafik

Kami masih belum menyentuh tentang grafik setakat ini. Jika dibandingkan dengan edisi PlayStation 3 pelbagai pembaharuan dilihat. Pokok besar dan renik bergerak ditiup angin. Batu bata dan lumpur di atas jalan raya berubah kedudukan apabila dilanggar oleh kereta. Cermin kereta juga dilumuri lumpur apabila anda memandu masuk ke dalam lubang lumpur.

Uncharted 4 20160329_145038Drake dan rakan-rakan pula kelihatan lebih hidup kali ini kerana peningkatan penggunaan poligon pada model 3D yang dikawal. Tekstur juga nampak lebih tajam. Sungguhpun begitu tidak kesemuanya sempurna. Kami menyedari kesan khas bayang-bayang kelihatan agak aneh dan memaparkan jaggies yang ketara.  Ianya tidak secantik sistem soft shadow yang digunakan di dalam The Division. Keseluruhan kepermaian juga dihadkan ke 30 FPS sahaja bagi memastikan kelancaran konsisten pada resolusi 1080P. Kami difahamkan mod 60 FPS hanya wujud di dalam permainan multiplayer.

Mungkin kami sudah terbiasa dengan 60FPS pada Uncharted Drake Collection dan beberapa permainan PS4 lain seperti Metal Gear Solid V. Jadi apabila permainan lebih baru ini dihadkan hanya kepada 30 FPS ia teras sedikit canggung.

Fungsi Baru

Jadi apakah perkara baru yang diperkenalkan di dalam U4?  Di dalam beberapa trailer sebelum ini fungsi cangkuk diperlihatkan. Cangkuk ini boleh digunakan dengan menekan L1, untuk memanjat kawasan tertentu sahaja. Sekiranya anda pernah bermain Tomb Raider 2013 anda tahu bahawa hanya sesetengah objek boleh ditembak dengan anak panah yang kemudian membolehkannya ditarik oleh Lara Croft. Mekanisme yang sama wujud di dalam permainan ini.

Di dalam demo ini kami menemui markas musuh dan cangkuk kami gunakan secara bebas untuk memanjat struktur tinggi bagi membolehkan kami membunuh seorang penembak curi yang sedang menyorok.  Cangkuk juga digunakan untuk menarik objek dari kawasan yang tersorok. Di alam demo ada sebuah gua dan sebuah kotak perlu kami tarik ke bawah sebelum ia boleh digunakan sebagai tangga bagi mengakses harta tersorok.

Jangan risau, cangkuk di dalam U4 tidak seperti yang digunakan di dalam siri Batman Arkham ataupun Assassin’s Creed Syndicate. Anda masih perlu memanjat secara manual dan menggunakan otak dan bukan menekan satu butang untuk segera tiba ke kemuncak menara.

Uncharted 4 2172912Fungsi baru kedua yang kami lihat pula ialah alert system baru. Uncharted 4 boleh dimainkan seperti seperti MGSV dimana anda tidak perlu menembak seorang musuh untuk menghabiskan permainan. Mod stealth in dipermudahkan dengan alert system berwarna pada musuh. Apabila musuh mula melihat Drake, anda mempunyai beberapa saat untuk keluar dari lingkungan penglihatan mereka. Musuh yang melihat akan bertukar warna kuning. Selepas beberapa saat melarikan diri, musuh akan kembali ke pos kawasan mereka. Sistem stealth yang digunakan mempunyai persamaan dengan yang digunakan di dalam The Last of Us cuma di dalam permainan “zombie” ini apabila anda dilihat oleh Clicker, tidak ada masa diberikan untuk melarikan diri sebelum diserang.

Uncharted 4 2172912s1Bercakap mengenai The Last of Us, sebuah lagi sistem baru yang diperkenalkan ialah kemampuan menandakan posisi musuh. Untuk menandakan musuh, anda perlu menekan R1 dan butang L3 serentak. Musuh yang sudah ditandakan akan sentiasa dapat dikesan kedudukan mereka kerana mempunyai garis luaran berwarna kuning. Tiada had musuh yang boleh ditanda dan fungsi ini digunakan oleh mereka yang mahu bermain secara stealth dan menggemari unarmed takedowns.  Musuh yang telah ditanda akan dapat dilihat walaupun mereka tersorok di belakang struktur lain (seperti gambar di atas).

A.I

Uncharted memang terkenal dengan musuh yang lebih bijak daripada biasa. U4 meneruskan tradisi ini dengan musuh yang bijak melakukan flanking, menyorok di belakang struktur dan membaling bom untuk memaksa anda keluar dari posisi selamat. Sepanjang demo kami mati beberapa kali kerana diserang hendak dari pelbagai arah. Cara terbaik ialah memastikan Sam dan Sully sentiasa berada berhampiran untuk memberikan bantuan mengalahkan manusia. Seperti A.I musuh, A.I untuk dua sekutu Drake ini mampu membantu anda dengan bijak.

Kesimpulan

Masa 30 minit yang diberikan adalah terlalu pendek untuk kami menikmati Uncharted 4. Kami juga dicampak di tengah-tengah permainan tanpa sebarang tutorial bagaimanakah ia perlu dimainkan. Nasib baik sebelum pergi ke Singapura, kami menghabiskan masa memainkan semula Uncharted Drake Collection untuk PlayStation 4. Sistem kawalan tidak diberikan perubahan drastik. Kawalan masih lagi lancar dan penambahan beberapa fungsi baru membolehkan U4 menjadi sebuah permainan stealth.

Adakah ia permainan yang harus dimiliki? Dari demo pendek ini kami teruja dengan apa yang bakal ditawarkan. Grafik memang jauh lebih cantik tetapi ianya bukanlah yang tercantik (seperti yang diuar-uarkan oleh Naughty Dog) pernah kami lihat pada konsol.

Perkara yang paling kami minati ialah keterbukaan kawasan yang kami mainkan. Ia menjadikan U4 kelihatan amat epik. Adakah Drake akan mati? Adakah ini benar-benar siri terakhir Uncharted? Jawapan hanya akan diketahui 10 Mei hadapan.

Uncharted 4 20160329_133127

 

 

Komen